Evan Almighty


16082007
Kisah Evan

Minggu ini penulis ingin memberikan sedikit pendapat tentang sebuah filem yang cukup kontroversi iaitu Evan Al-Mighty. Tajuk tersebut telah memberikan gambaran betapa kontroversinya filem ini sehinggakan filem tersebut telah diharamkan tayangannya di Malaysia. Hal ini kerana perkataan Al-Mighty hanyalah eksklusif untuk Yang Maha Esa. Sebelum penulis mengulas lanjut tentang filem ini ada baiknya kita selusuri dahulu sinopsis cerita ini.

Filem ini mengisahkan seorang ahli politik yang baru dilantik, mendapat arahan daripada Tuhan untuk membina kembali bahtera Nabi Nuh dan dikehendaki memenuhkan bahtera tersebut dengan 2 ekor binatang yang berlainan jantina daripada pelbagai spesies. Dalam erti kata yang mudah, filem ini ingin memaparkan kisah Nabi Nuh dan bahteranya tapi dalam konteks dunia moden hari ini. Persoalannya, mengapakah penulis berminat untuk bercerita tentang filem yang kontroversi ini?

Gambaran zat Tuhan: Hikmah di sebalik larangan syarak

Pada pendapat penulis, banyak mesej dan pengajaran yang dapat kita ambil daripada filem ini . Bak kata pepatah, buang yang keruh ambil yang jernih. Secara terang-terang, tindakan menggambarkan Tuhan sebagai seorang lelaki kulit hitam yang berumur dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun semestinya suatu tindakan yang melanggar dan menyalahi prinsip syarak. Logik di sebalik larangan tersebut cukup nyata dan jelas sepertimana yang pernah diungkaikan oleh Mufti Besar Perlis, Dr. Asri. Seandainya Tuhan untuk semua penduduk di bumi ini digambarkan sebagai lelaki berkulit hitam , sudah pasti dua pihak akan tidak mahu menyembah-Nya. Kaum wanita dan kaum-kaum berkulit putih kerana Tuhan tidak adil kepada semua dengan menjelmakan diri-Nya sebagai kaum tertentu. Atas sebab yang sama, kita lihat apabila manusia “mendapat peluang” untuk menggambarkan Tuhan, mereka cuba menggambarkan Tuhan berdasarkan kepentingan tertentu. Lihat sahajalah patung Jesus yang menyerupai pemuda kacak berbangsa Inggeris sedangkan secara jelas, Nabi Isa itu bukanlah berbangsa Inggeris. Baginda merupakan daripada kaum Yahudi dan diutuskan untuk Bani Israel pada masa itu. Bagaimana pula dengan patung Buddha yang digambarkan sebagai orang Cina yang berperut buncit dan patung Brahman/Siva yang berkulit gelap? Bukanlah niat saya untuk memperlekehkan agama lain tapi itulah hakikatnya. Kebenaran itu sememangnya pahit untuk ditelan.

Berpegang pada Al-Quran dan Sunnah

Seterusnya penulis ingin membawa pembaca menghayati beberapa pengajaran penting daripada filem ini. Satu aspek yang penulis kagum dengan filem ini ialah filem in berjaya menggambarkan kepentingan berpegang pada Al-Quran dan As-Sunnah. Dalam filem ini, Tuhan telah memberikan “wahyu” secara tidak langsung kepada ahli politik tersebut. “Wahyu” tersebut disampaikan secara simbolik dengan menggunakan angka 6: 14, ayat ke-14 dalam Genesis, salah satu “surah” dalam kitab Injil dan “disampaikan” melalui pelbagai cara seperti jam loceng berbunyi pada pukul 6.14 pagi dan no plat kenderaan GEN 614. Dalam ayat tersebut, Tuhan memerintahkan Nabi Nuh untuk membina sebuah bahtera.

Apa yang membuatkan penulis tertarik ialah dengan hanya berpegang pada sepotong ayat tersebut, ahli politik tersebut melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Tuhan ke atasnya biarpun macam-macam tentangan yang dihadapi olehnya. Semua ini mengingatkan kita tentang perjuangan para anbia’ yang mulia. Dengan hanya berpegang pada satu wahyu yang diturunkan Allah, tanpa ragu-ragu mereka akan melaksanakannya. Cuba kita singkap kembali sirah Nabi Nuh. Tentangan, celaan , dan hinaan serta tohmahan dan pelbagai lemparan fitnah terpaksa Baginda hadapi bersendirian semasa diperintahkan Allah membina bahtera di atas bukit. Surah ke-71 di dalam Al-Quran iaitu surah Nuh , khusus menceritakan kisah perjuangan Nabi Nuh yang berdakwah beratus-ratus tahun lamanya namun hanya segelintir sahaja yang menyahut seruan Baginda. Jadi, kita wajar memuhasabah semula diri kita. Sekuat mana kita berpegang pada ajaran Al-Quran dan Sunnah walaupun kita dengan lantang mengatakan bahawa kita beriman dengan kitab-Nya? Fikir-fikirkan.

Kapal Evan

Ketentuan Qada’ dan Qadar

Satu lagi aspek yang ingin penulis rungkaikan dalam filem yang bercorakkan komedi santai ini ialah “cara” Tuhan “bekerja”. Dalam filem ini, ahli politik tersebut memohon kepada Tuhan, dua perkara penting iaitu supaya Tuhan merapatkan hubungan sesama ahli keluarganya dan dia mahu Tuhan bersamanya untuk mengubah dunia ini kepada dunia yang lebih baik. Tuhan memperkenankan permintaan-permintaannya dengan cara yang unik, bukannya dengan terus memberikan apa-apa yang dipinta tapi dengan cara pengajaran melalui hikmah tertentu.

Untuk memudahkan pemahaman pembaca, kita hayati terjemahan ayat ini. “Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Al-Baqarah:216) Begitulah juga situasi yang cuba digambarkan dalam filem ini. Permintaan pertama agar hubungannya bersama ahli keluarga yang lain dirapatkan, termakbul apabila mereka bersama-sama membina bahtera tersebut sedangkan dahulu kesibukan ahli politik tersebut menyebabkan dia tiada masa terluang untuk beramah mesra dengan ahli keluarganya. Permintaan keduanya pula untuk mengubah dunia, dipenuhi dengan cara yang lebih dramatik. Apabila bahtera tersebut siap dibina, langit tiba-tiba menjadi gelap gelita. Namun, hujan hanya turun sedikit sahaja sehinggakan ahli politik tersebut berputus asa dengan janji Tuhannya kerana dia menjangkakan hujan akan turun sangat lebat sehingga berlaku bah yang amat dahsyat. Dalam perhitungannya, itulah sebab utama Tuhan menyuruhnya membina kembali bahtera tersebut.

Tapi sayangnya, kiraannya tersasar. Hujan yang diturunkan dalam kuantiti yang sedikit tadi rupa-rupanya menjadi penyebab kepada pecahnya empangan kerana empangan tersebut tidak mampu lagi menampung lebih daripada kapasitinya. Akhirnya empangan tersebut pecah dan banjir besar berlaku sehinggalah bahtera tersebut mendarat di White House beberapa minit sebelum Kongres memutuskan untuk membangunkan tanah yang telah diwartakan sebagai rizab hidupan liar. Demikianlah jua halnya dalam kehidupan kita seharian. Ada masanya kita rasakan Tuhan itu kejam tapi sebenarnya ada hikmah tersembunyi di sebalik setiap tindakan dan kehendak-Nya.

Secara tuntas, saya harap para pembaca dapat mengambil iktibar daripada nukilan saya ini. Sebaik-baiknya nilailah setiap suatu perkara itu secara rasional dan mengikut pertimbangan akal yang waras dan bukannya secara emosional kerana kelak nanti akan merugikan diri sendiri.

Wallahu’alam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Trackback this post  |  Subscribe to the comments via RSS Feed


%d bloggers like this: