KARNIVAL SUKAN BECA 2007


Disediakan oleh MOHAN

Auckland Domain

25 OGOS 2007

Karnival sukan BECA membuka tirai Hari Kebudayaan Islam 2007. Bertempat di Auckland Domain, para peserta mula berkumpul tepat jam 9 pagi. Suasana dingin Auckland tidak mengganggu gugat kesungguhan para peserta untuk beraksi. Acara-acara yang dipertandingkan ialah Galah Panjang-Baling Selipar, Bola Beracun, Captain Ball, Mencari Harta Karun, dan Bola Sepak. Seperti yang telah dijanjikan BECA, makanan dan minuman disediakan untuk para peserta. Malah, pihak BECA menyediakan roti dan jem untuk peserta-peserta yang tidak sempat bersarapan di rumah. Sempat jugalah mereka mengalas perut sementara menunggu peserta-peserta lain tiba. Selain itu, ahli-ahli jawatankuasa sibuk menyiapkan gelanggang bagi pertandingan Galah Panjang+Baling Selipar.

Matahari kian meninggi, melimpahkan sinarannya di persekitaran Auckland Domain. Para peserta kelihatan begitu bersemangat. Tepat jam 9.45 pagi, sedikit taklimat disampaikan oleh Nizam ‘Big Boss’, ataupun lebih mesra dengan panggilan ‘Abah’. ‘Abah’ mengingatkan matlamat utama karnival sukan ialah untuk memupuk ukhuwah di samping meningkatkan kecergasan. Peserta-peserta telah memilih Azmir yang lebih dikenali sebagai ‘Akak’ bagi mengetuai sesi ‘stretching’.

Acara pada pagi itu dimulakan dengan pertandingan galah panjang yang digabungkan bersama permainan baling selipar, hasil ilham saudara Faiz Rahim. Beliau yang bertindak sebagai pengadil telah membahagikan para peserta kepada beberapa kumpulan secara sama rata. Mungkin kerana berada jauh di rantauan, terasa rindu pula kepada permainan-permainan tradisional sebegini. Apatah lagi, menyahut seruan kerajaan bagi memeriahkan bulan kemerdekaan. Pertandingan galah panjang dan baling selipar berlangsung dengan meriahnya. Peserta-peserta memberikan cabaran dan tentangan kepada pihak lawan sekaligus menghangatkan lagi suasana. Permainan ini akhirnya telah dimenangi oleh pasukan ‘Lucky Lucky’, yang diketuai oleh saudara Luqman Kamaruddin.

Karnival sukan diteruskan dengan perlawanan Bola Beracun, yang diketuai oleh saudara ‘Chief’. ‘Chief’ telah membahagikan para peserta kepada 2 kumpulan dan menerangkan syarat dan peraturan permainan tersebut. Acara ini menimbulkan sedikit kontroversi apabila segelintir para peserta tidak berpuas hati dengan peraturan dan cara permainan itu dijalankan, yang seterusnya memaksa pihak penganjur menghentikan permainan itu beberapa kali. Akhirnya, sikap bertolak ansur mengatasi segalanya. Permainan itu diteruskan dan berakhir dengan kemenangan di pihak kumpulan ‘Kahwin Lagi’, menewaskan kumpulan ‘Kawin dua sudey’.

Seterusnya, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk perlawanan Captain Ball. Perlawanan pertama menyaksikan kekalahan pasukan Budak Chomei di tangan pasukan Budak Ganas. Permainan ini ternyata menguji ketangkasan dan kesefahaman para peserta. Perlawanan akhir menemukan pasukan Budak Ganas dan pasukan Budak Budak. Walaupun diasak hebat oleh Budak Ganas, tetapi Budak Budak cuba bertahan dan sesekali berjaya merobohkan benteng pertahanan lawan. Selepas tamat tempoh perlawanan, kedua-dua pasukan terikat mata yang sama. Akhirnya, pasukan Budak Ganas yang diketuai Azri berputih mata apabila gol emas berjaya menjadi milik pasukan Budak Budak dalam pusingan penentuan.

Karnival sukan dihentikan seketika bagi menunaikan solat Zuhur dan makan tengah hari. Menu pada hari tersebut ialah kari ayam, yang telah disediakan oleh ‘Fred Chikara & The Geng’ pada malam sebelumnya. Terima kasih untuk ‘Fred & The Geng’! Saudara Afiq telah mengimami solat zuhur. Selepas itu, para peserta mengambil kesempatan untuk berehat seketika, menjana kembali tenaga untuk permainan seterusnya, dan menggunakan masa yang terluang itu dengan merakamkan kenangan dan bermain sepak bola sepak dalam bulatan dengan matlamat timbangan 10, 15 dan seterusnya. Menerusi keberkatan kerjasama yang ditunjukkan, para peserta berjaya mencapai matlamat dengan berkongsi timbangan seorang sedikit. Mantap!!!

Perut sudah kenyang, tenaga telah dijana kembali, karnival sukan diteruskan dengan pertandingan Mencari Harta Karun. Bagaikan menyertai ‘Amazing Race’, para peserta bersungguh-sungguh mendapatkan klu dan petunjuk. Semangat berpasukan ternyata ditonjolkan oleh semua peserta. Semuanya menampakkan kerjasama pada setiap perhentian yang dilalui. Walaupun ada yang ‘terkorban’, tetapi semua itu tidak mematahkan usaha dan semangat ahli-ahli pasukan yang lain. Berbekalkan kecekalan dan kesungguhan hati peserta inilah, kejuaraan akhirnya menjadi milik Kumpulan 3 yang diketuai oleh Bahet ‘Hebat’.

Selesai sudah Mencari Harta Karun, BECA mengadakan pula perlawanan persahabatan bola sepak sebaik sahaja menunaikan solat asar secara berjemaah. Tidak semua peserta yang menyertainya memandangkan ramai yang mempunyai komitmen lain. Namun, keseronokan tetap dirasai apabila peserta cuba mempamerkan aksi-aksi yang menghiburkan hasil inspirasi gaya ‘Tango’ ciptaan Bahet ‘Hebat’.

Karnival sukan pada petang itu berakhir sekitar jam 5.30 petang. Masing-masing berasa puas. Walaupun penat dan letih, tetapi para peserta masih tersenyum puas.

Barisan Mantap!!

1 Komen Add your own

  • 1. Nurul  |  Julai 26, 2009 at 9:15 pm

    sy skg tgah wat research 4 my xment tentang permainan baling selipar…
    sy mahukan pertolongan sesiapa sahaja yang thu bagaimana cara serta peraturan yang diperlukan untuk bermain permainan ini..
    sebarang pengetahuan bolehlah di emailkan kepada
    Nurah_nhkl88@yahoo.com.my
    (salam perkenalan)

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Trackback this post  |  Subscribe to the comments via RSS Feed


%d bloggers like this: