BECA BBQ @ CORNWALL PARK

21 hb Julai 2007

p1020777_compressed.jpg

Disediakan oleh Phoenix Illhamy

Persis Mutiara. Seungkai frasa yang begitu tepat untuk menggambarkan keindahan butir-butir hujan pada pagi itu di Cornwall Park, Auckland, tempat yang menyaksikan sekumpulan pelajar Muslim di Auckland berhimpun untuk sesi BBQ. Pagi itu suasana cukup dingin. Cuaca awalnya mendung bertukar ganas dengan hujan turun lebat membasahi bumi Auckland. Namun itu semua tidak melunturkan semangat ahli-ahli BECA. Seawal jam 8 pagi, AJK yang terlibat telah pun bergegas ke kawasan BBQ. Namun malangnya hujan merencatkan persiapan mereka. Khuatir kalau-kalau daging yang diperam semalaman, lencun direndami air.

p1020749_compressed.jpg

Ahli-ahli BECA yang lain pula tidak kurang komitmennya. Tepat jam 10 pagi masing-masing telah berkumpul di perhentian bas di hadapan Forte. Kendatipun ada yang dilanda trauma akibat dihalau oleh pemandu bas, namun itu semua hanya picisan jika dibandingkan semangat ukhuwah di kalangan ahli BECA. Setelah menaiki bas yang tepat untuk menuju ke destinasi yang diimpikan, mereka terpaksa pula berjalan sejauh 1 kilometer untuk tiba ke kawasan BBQ. Keluhan penat lelah tidak langsung dizahirkan, cukup untuk membuktikan betapa dedikasinya mereka.

Setibanya di kawasan BBQ, daging masih sedang dipanggang. Beberapa ahli memegang plastik hitam di atas kepala AJK yang memanggang agar titis-titis hujan tidak menyentuh daging-daging itu sama sekali. Sementara ada pihak yang memanggang, ada pula yang sudah pun kelaparan. Perut sudah mula berkeroncong dengan pelbagai bunyi yang tidak enak didengar. Maka sebagai santapan permulaan, idea kreatif untuk memakan roti bercicahkan sos BBQ dan madu telah menjadi pilihan ramai. Cukuplah untuk mengalas perut sementara menanti ayam dan daging kambing siap dipanggang!

p1020772_compressed.jpg

Suasana hari itu cukup ceria biarpun cuacanya suram. Hingar-bingar jadinya apabila masing-masing mula bertukar pengalaman bercuti semasa cuti musim sejuk tempoh hari. Maklum sajalah ada ahli BECA yang sudah hampir 3 minggu tidak bersua! Sakan bercuti agaknya hehe… Suasana kian meriah dengan kehadiran abang-abang dan kakak-kakak PostGrad bersama anak-anak mereka yang comel belaka. Ada masanya telatah kanak-kanak yang menghiburkan hati mampu mengimbau kembali kenangan masa lalu.

Dalam pukul 12 tengah hari, semua ahli terus berpusu-pusu mengerumuni tempat BBQ untuk memilih ayam atau daging yang menambat hati mereka. Tawar-menawar, gelak tawa,dan gurau senda menghiasi Cornwall Park hari itu. Setelah hampir puas menjamu selera, aktiviti diteruskan dengan solat Zohor berjemaah. Sembahyang di bawah percikan air hujan cukup menginsafkan. Semuanya penuh dengan hikmah – mengajar erti kesabaran dan bersyukur dengan rezeki pemberian Tuhan.

Setelah selesai solat, aktiviti diteruskan dengan permainan yang cukup mencabar minda. Ahli-ahli dibahagikan kepada empat kumpulan : Al-Ankabut (Labah-labah) , Al-Qirdu (Kera), Al-Baqarah (Sapi Betina) dan Al-Ghuraba (Burung gagak). Nama-nama kumpulan bersempena dengan nama-nama binatang yang diceritakan di dalam Al-Quran. Syed Umar, selaku pengendali aktiviti, menceritakan serba sedikit kisah haiwan-haiwan tersebut. Kisah-kisah seperti sarang labah-labah yang menjadi penyelamat di gua Tsur, burung gagak di dalam kisah pembunuhan Habil oleh Qabil, kaum Sabbath yang disumpah menjadi kera kerana mengingkari perintah Allah dan Bani Israel yang begitu banyak bertanya tatkala diperintah Allah menyembelih lembu betina, adalah antara kisah yang diceritakan pada hari itu.

p1020758_compressed.jpg

Permainannya cukup mudah. Pihak penganjur akan memberikan sepotong klu kepada 2 ahli dari setiap kumpulan dan ahli kumpulan hendaklah meneka klu-klu tersebut berdasarkan gerak-geri, mimik muka, dan kod-kod rahsia yang ditunjukkan oleh dua ahli yang dipilih tadi. Belum sempat menghabiskan pusingan pertama, hujan tiba-tiba turun dengan lebatnya. Sementalahan itu, pihak penganjur mencadangkan agar majlis diteruskan di Flat 14 pada sebelah malam pula.

Sebelum pulang, semua ahli BECA tidak lupa merakamkan gambar kenangan bersama dan video hari raya. Secara tuntas, aktiviti kali ini banyak mengajar setiap ahli erti ukhuwah, kesabaran dan kerjasama di kalangan ahli. Biarpun banyak halangan tetapi semangat kental yang ditonjolkan oleh belia-belia cergas ini menjadi petanda yang baik untuk mengukur kemapanan jati diri ahli-ahli pada masa akan datang.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Trackback this post  |  Subscribe to the comments via RSS Feed


%d bloggers like this: