Archive for Ogos, 2008

Aku, Ramadhan dan …..

Alhamdulillah syukur kepada Allah swt kerana kita masih lagi diberi peluang untuk mengecap nikmat bulan mulia, bulan Ramadhan Al-Mubarak. Dalam kita sedar ataupun tidak, Ramadhan yang kita tinggalkan hampir setahun yang lalu akan tiba lagi. Maha suci Allah yang masih memberi peluang kepada kita untuk bertemu lagi dengannya. Ianya bulan bagi mereka yang ingin mencari keredhaan Ilahi dengan aktiviti ibadah yang sudah dirancang. Namun masih belum terlambat bagi yang baru sedar.

Apa yang terlintas difikiran anda apabila mendengar bahawa bulan Ramadhan akan tiba tidak lama lagi?

Solat terawih?

Menahan diri dari lapar dan dahaga?

Mungkin bagi kita yang berada jauh di bumi Auckland, New Zealand ini, sentiasa teringat suasana meriah berpuasa di Malaysia dengan bazaar Ramadhannya?

Mari kita lihat apa kata Rasulullah SAW mengenai keistimewaan bulan mulia ini,

Ketika Ramadhan menjelang, Rasulullah s.a.w. bersabda;

Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi tertutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya. [ Sahih Bukhari dan Muslim]

Lihat sahaja dari hadis di atas, sesungguhnya bulan ini bukanlah sebarang bulan kerana keistimewaannya amatlah banyak. Syurga pun ada syurga yang istimewa untuk orang yang berpuasa. Cuma  setiap dari kita sahaja yang terlupa walaupun di saat seperti ini kita yakin ramai yang mungkin telah memperkatakan mengenai Ramadhan.

Tahap Amalan Kita?

Amalan di sini bukan hanya sekadar solat tetapi ianya lebih luas. Antara amalan mulia yang boleh dilakukan semasa bulan Ramadhan ialah dengan memberi makan berbuka puasa kepada orang islam. Amalan membaca Al-Quran juga perlulah dipertingkatkan. Masa-masa lapang cuti selama dua minggu perlulah digunakan sebaiknya.

Beristighfar dan bertaubatlah kepada Allah swt di bulan ini dan maaf memaafkanlah sesama manusia. Jadikanlah bulan Ramadhan ini bulan untuk mengubah diri kerana belum pasti kita akan dapat bertemu lagi dengan bulan Ramadhan di masa hadapan.

Hikmah Ramadhan

Dalam bulan Ramadhan yang telah kita tempuhi dahulu, antara kelebihannya  yang boleh diambil pengajaran ialah pada bulan ini  ukhuwwah ataupun persaudaraan islam itu dapat dijalinkan dengan lebih erat lagi. Bagi pelajar seperti kita di Auckland, mungkin dapat diatur bersama raka-rakan untuk sahur bersama, berbuka bersama, berterawih bersama, berqiammullail bersama, membaca Al-Quran bersama dan tidak dilupakan, berpuasa bersama-sama. Jangan sesekali lupakan rakan kerana setiap muslim itu adalah bersaudara. Saat di mana kita bertemu di Prayer Room Mount Street contohnya, perlulah digunakan sebaiknya sebagai medium untuk memperbaiki hubungan kita sesama pelajar Malaysia di bumi Auckland ini.

Bulan Ramadhan juga dapat juga mendidik kita untuk sama-sama merasakan apa yang dirasa oleh saudara seislam kita yang masih lagi ditimpa kesusahan seperti di Palestin, Afghanistan, Iraq, Sudan, dan tidak dilupakan keadaan mereka yang fakir di Malaysia sendiri. Bagaimana agaknya berpuasa dalam keadaan seperti mereka? Pernahkah kita terfikir? Inilah masanya yang Allah swt beri untuk sesama islam itu berfikir tentang saudara islamnya yang lain. Buang budaya syok sendiri.

 Moga Ramadhan ini dapat mendidik dan menyedarkan kita supaya saling bantu-membantu umat Islam yang lain. Jika anda ingin menghulurkan bantuan, hulurkan bantuan di saluran yang betul dan boleh dipercayai. Takut lain pula jadinya.

 Perang Badar

Perang Badar adalah peristiwa penting yang berlaku semasa bulan Ramadhan. Ianya melibatkan 313 orang sahabat yang benar-benar “berkualiti”. Perang Badar penting kerana ia ibarat turning point bagi umat Islam seperti yang didoakan baginda Nabi SAW:

“Ya Allah, jika musnah kelompok Islam ini nescaya Kamu tidak akan lagi disembah di atas muka bumi.”

Dari 313 sahabat Rasulullah SAW yang hebat inilah lahirnya sejarah Islam yang agung yang pernah kita dengar.Namun sejarah kini tinggallah sejarah. Umat islam tidak lagi gemilang seperti dahulu. Di mana silapnya? Bertanyalah pada diri sendiri.Diberikan akal untuk berfikir. Diberikan masa terbaik seperti bulan Ramadhan yang akan datang ini untuk melihat kembali amal masing-masing.

Ahlan Ya Ramadhan!

Moga dengan nasihat yang sebegini ringkas dapat memberi sedikit sebanyak kesedaran buat diri kita semua. Gunakanlah Ramadhan yang ada sebaiknya kerana mungkin ia yang terakhir buat kita. Jangan dalam Ramadhan ini kita masih lagi menjadi orang yang sama seperti kita yang dulu. Berubahlah ke arah kebaikan kerana itulah orang yang untung kerana menyesal di kemudian hari itu tiada gunanya.

Selamat menyambut Ramadhan semua terutama warga Auckland dan New Zealand!

 

Advertisements

Ogos 31, 2008 at 12:58 pm Tinggalkan komen

Sukan BeCA 2008

Salam ‘alaikum bro!

PHEWH!!! Hidup lagi rupanye..

  • Assignment Maths: Siap!
  • Assignment Communication: SIAP!!
  • Project Radio: SIAP!!
  • Project C++: Siap kan?
  • Test Dynamics: huhu..
  • Olympics: Habis…

But no worries mate! We got somethiong in store for you:

 

Aktiviti menarik:

  • ultimate frisbee
  • command and conquer
  • screaming viking
  • captain subasa? captain ball..
  • M.A.F.I.A.

Interested?? come join us then.. huhu…

Cya there..

Ogos 28, 2008 at 10:26 pm 3 comments

DEWASAKAH aku…

August 14, 2008 by Omar Mokhtar 

“Ibu,…kakak tak nak bagi pinjam beskal”. Aku yang sewaktu itu berumur lapan tahun menangis bagai tak mahu berhenti untuk memujuk Ibu menyuruh kakak meminjamkan basikal barunya kepadaku.

 

“Kakak, pinjamkan beskal kat adik”. Kakak tak mahu tapi akhirnya terpaksa akur atas desakan Ibu. Kakak mengalah. Namun diri yang tidak sedar bertubuh kecil dengan tidak sengaja terjatuh dari basikal dan menyebabkan tayar depannya gelong. Pulang sahaja dari bermain, kakak terpaku melihat basikalnya yg telah rosak.

 

“Ibu, adik rosakkan beskal kakak” . Kakak menangis lalu meluru kebiliknya kerana dia tahu Abah takkan membeli basikal baru untuknya. Cuma bahagian yang gelong itu diketuk-ketuknya supaya lurus semula. Kakak sangat marah ketika itu sampaikan tak mahu menolong aku menyiapkan kerja sekolah. Tapi aku masih bongkak. Aku puas hati dapat menyakiti hatinya. Namun aku tidak sedar meskipun betapa marah kakak ketika itu tidak pernah dia memukulku, apatah lagi mengeluarkan perkataan kesat kepadaku.

 

Lima tahun sudah berlalu…

 

Aku kini bergelar remaja. Semua benda aku hendak cuba…Cuma mungkin diri ini masih bernasib baik kerana tidak pernah terdorong mencuba sesuatu yang dicuba oleh sahabatku yang lain. Mereka sudah pandai menghisap rokok, berdua-duaan dan sebagainya. Terlampau banyak perkara yg tidak baik sudah tertayang didepan mata cuma aku masih teringat pesan Abah dan Ibu untuk tidak meniru mereka. Mungkin inilah satu-satunya yang menyelamatkan aku dari arus deras tersebut. Aku kemudian dirundung perasaan malu. Berkali-kali Abah menasihatkan aku supaya berani. Abah kata dalam belajar kena berani. Namun aku degil. Aku merasakan kepala otakku lah yang paling betul. Permainan video ketika itu menjadi medan untuk aku menghabiskan sisa awal remajaku. Nasihat Ibu dan Abah tidak ku pedulikan. Tidak beberapa lama selepas itu keputusan PMR aku keluar. Aku kecundang, hancur harapan ku untuk ke sekolah Maahad seperti kakakku.

 

“Ibu, adik dapat 6A je”. Tanpa kusedari air mata membasahi pipiku .

 

Kini ku sedar betapa benar kata-kata Ibu dan Abah. Namun apakan daya nasi telah menjadi bubur. Tidak ada apa yang aku boleh lakukan ketika itu. Rakan-rakanku yang lain semuanya hebat-hebat belaka. Macam-macam tawaran mereka perolehi. Aku mula sedar. Aku mula meninggalkan permainan videoku. Padahal aku bukan rela pun cuma mungkin sudah sedikit jemu. Selang beberapa bulan tiba-tiba satu tawaran menyapa peti pos rumahku. Tak kusangka ada sesuatu yang lebih baik dari apa yang aku harapkan Dia simpankan untukku. Aku dapat tawaran ke sekolah berasrama penuh.

 

Kini aku sudah mula bertatih untuk berdikari. Ibu dan Abah mula menyandarkan harapan yang besar dibahuku.

 

“ Adik nanti kat sekolah belajar sungguh-sungguh. Jangan asyik main aje”. Kata Abah.

 

Mulai dari saat itu aku memulakan hidupku yang baru. Di sana aku bertemu dengan rakan-rakan yang bijak dan rajin, sedikit sebanyak mengikis perasaan malasku. Tapi aku masih berasa sangsi dengan diriku. Akedemikku sebelum ini tidaklah sehebat mereka . Boleh dikatakan aku adalah orang yang tercorot yg diambil masuk ke sekolah itu. “Mampukah aku” bisikku ketika itu.

 

Suasana di sekolah ketika itu amatlah berbeza dengan sekolah lamaku. Aku mula ditarbiyyah dgn didikan berlandaskan Al-Quran dan As-sunnah. Namun aku tahu masih ada saki-baki sistem pendidikan sekular yang aku lalui. Di sana aku mula diperkenalkan dengan usrah. Tapi jiwaku ketika itu belum bersedia. Aku anggap mereka itu hipokrit.

“Di luar saja cantik tapi dalam…” keluhku. Tapi aku terlupa siapakah yang telah membina sistem disekolah itu kalau bukan para Ulama’ muktabar dahulu yang betul-betul ikhlas kerana Rabbnya . Aku mula tersedar akan hakikat sebenar. Aku mula melatih diriku untuk berlapang dada, terima seadanya kelemahan manusia disekelilingku.

 

Dua tahun sudah berlalu…aku telahpun meninggalkan alam persekolahan. Namun tak kusangka rupanya cabarannya lebih besar mendatang. Aku melihat rakan-rakanku sudah mula berubah. yang teguh pendirian dicopnya ‘budak alim’. Sebahagiannya telah hilang dari diri kemanisan tarbiyyah dan sebahagiannya semakin teguh walaupun ujian yang datang bertubi-tubi. Aku mula mempersoalkan diriku …dimanakah aku?

 

Kemudian aku masih diberi peluang dan dipilih untuk mengikuti persediaan ke luar negara. Aku lupa akan hakikat rezeki tuhanku. Sedikit perasaan bangga mula betakhta dalam hati. Aku mula goyah. Aku mula terpesona dengan kecanggihan duniawi lantaran amal ku semakin berkurangan. Aku berasa sukar untuk melakukan amalan di sekolah dahulu. Populariti menjadi perkara yang dikejar-kejar . Aku cuba melarikan diri tetapi akhirnya aku juga terkena tempiasnya. Syukur aku masih disedarkanNya akan situasi diriku.

 

“Alhamdulillah…” terpacul kata-kata itu dari mulutku selepas berjaya menempah tempat di universiti luar negara. Aku merasakan aku telah sampai di puncak kebebasan. Aku berasa bebas-sebebasnya menentukan arah tuju hidupku. Tapi setelah beberapa lama berada di negara orang, aku mula sedar, jiwaku terasa kosong. Aku ditipu dengan kesenangan yang sementara. ‘game’ menjadi medan untuk aku memenuhi masa mudaku…aku mula lalai semula.

 

Tapi setelah beberapa lama..aku mula sedar akan tujuan hidupku… “takkan ini sahaja yang aku mahu dalam hidupku…nak kaya..Bill Gates lagi kaya” aku mula terfikir dan memerhatikan sekeliling…rupa-rupanya akhirat itu lebih bernilai takkan Tuhan sengaja bagi mereka non-muslim kaya sedangkan ramai muslim yang lainnya menderita.

Baru ku sedar semuanya adalah ujian untuk akhirat yg kekal. Sesungguhnya Dia maha adil dan tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia.

 

Aku merenung jauh ke dalam diriku…

 

 

Kini aku sedar bahawa masa di dunia ini sangat singkat dan tidak dapat ku berpatah balik. Aku sedar pemuda muslim bukanlah pemuda yang hanya muslim pada nama tetapi juga tingkah-lakunya….(kini aku bersyukur kerana masih dalam rahmatNya dan masih lagi disayangiNya) betapa besar kasih sayangNya.

 

Baru ku tahu hakikat syahadah yang kusebutkan selalu didalam solatku. Mengapa Tuhan perlu dipatuhi, kemudian ibu bapa dan seterusnya sedara semuslim termasuk kakakku. Aku merasakan begitulah juga murka kakakku yang aku anggap remeh, murka Ibuku yang membuat ku derita apatah lagi murka tuhanku yang lebih besar dan parah akibatnya…

 

…Ampunilah hambaMu ini yaAllah

 

 

 

Ogos 24, 2008 at 1:35 pm Tinggalkan komen

Al-Araf 179

7:179. Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.


Manusia yang kian “sakit” perlu sentiasa diubati. Makhluk istimewa ini selalu berada dalam keadaan tertanya-tanya. Mereka tercari-cari erti kehidupan dan kegembiraan yang sebenar. Namun, acap kali juga mereka temui penyelesaian yang salah. Ayat Allah yang disampaikan di atas memberi suatu penyelesaian yang ringkas namun cukup padat.
Mereka yang tidak menggunakan hati, mata dan telinga untuk tujuan mencari kebenaran sudah pasti hampa dalam hidup di akhirat, juga di dunia. Ini jelas ditunjukkan dalam ayat surah al-a’raf di atas. Al-Quran juga sering mengingatkan manusia bahawa kehidupan kita di dunia akan dipenuhi rasa sedih dan risau. Begitu juga keadaannya mereka yang menjadi ahli neraka. Tiada penduduk neraka yang berasa gembira dengan keadaannya di sana. Jadi dari mana datangnya kegembiraan?
Kegembiraan atau kebahagiaan hanya akan lahir bagi mereka yang mencari Tuhan dengan ikhlas dari dalam hati. Firman Allah dalam surah al-Ra’d ayat 28:

13:28 (yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.


Namun, manusia sudah pasti akan diuji dari masa ke semasa. Dan ingatlah bahawa, hanya syurgalah tempat yang dijanjikan Allah bebas dari kerisauan dan kesedihan.
Mari kita tumpukan perhatian kepada hati dalam memberi erti kebahagiaan pada manusia. Hati yang tidak terisi dengan hidayah akan pasti mencari-cari suatu sumber lain yang membolehkan ia berasa gembira. Pada masa inilah, ramai manusia terperangkap. Terumpan oleh syaitan dan nafsu yang menjerat manusia dalam memberikan “ubat” yang salah untuk membahagiakan hati.
Ubat daripada 2 musuh durjana ini mempunyai pelbagai bentuk. Antaranya ialah, manusia akan mengisi dirinya dengan perkara-perkara dosa yang melazatkan. Contohnya meminum arak, berjudi, berzina, berkhalwat dan lain-lain. Ini mungkin terlalu ekstrim untuk kebanyakan kita yang bergelar muslim. Namun, harus diingat, setiap yang besar bermula daripada sekecil2 perkara. Begitulah juga perihalnya dengan dosa. Mungkin pada awalnya kita hanya terjebak dalam perkara-perkara yang melalaikan contohnya ber”couple”(yang ni pun berdosa sebenarnya), menonton televisyen, main game dan sebagainya. Seterusnya kita akan berada semakin jauh daripada Tuhan dan akhirnya menjadi semakin berani melakukan dosa-dosa besar.
Oleh itu, BECA ingin menyeru, janganlah membiarkan diri anda terus terlalai. Hati kita akan mati sekiranya tidak dihidupkan setiap hari. Jangan sampai kita menyesal berdiri ketika disoal di hadapan Allah. Di kala itu, segalanya sudah terlambat. Marilah menuju jalan lurus ini dengan segera selagi masa masih ada…

Ogos 17, 2008 at 6:56 am 2 comments

Wahai Hati

Ogos 11, 2008 at 11:37 pm Tinggalkan komen

ADA APA DENGAN SEEKOR LEBAH?

Rasulullah saw. bersabda, “Perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merosak atau mematahkan (yang dihinggapinya) .” (Ahmad, Al-Hakim, dan Al-Bazzar)

 

Seorang mukmin adalah manusia yang memiliki sifat-sifat unggul. Sifat-sifat itu membuatnya memiliki keistimewaan berbanding dengan manusia lain. Sehingga di mana pun dia berada, kemana pun dia pergi, apa yang dia lakukan, peranan dan tugas apa pun yang dia pikul akan selalu membawa manfaat dan maslahat(kebaikan) bagi manusia lain. Maka jadilah dia orang yang seperti dijelaskan Rasulullah saw. “Manusia paling baik adalah yang paling banyak memberikan manfaat bagi manusia lain.”

 

 

Untuk menjadikan kehidupan ini indah, menyenangkan, dan sejahtera, manusia-manusia seperti itu sangat diperlukan. Dalam keadaan apa sekalipun, dia akan membuat yang terbaik; apa pun peranan dan tugas yang diberikannya, dia akan menjadi manusia dan keadaan di sekelilingnya menjadi bahagia dan sejahtera.

Maka, sifat-sifat yang baik itu antara lain terdapat pada lebah. Rasulullah saw. dengan pernyataanya dalam hadith di atas menyeru agar kita mencontohi sifat-sifat positif yang dimiliki oleh lebah.

 

Sifat-sifat itu sendiri memang merupakan ilham dari Allah swt. seperti yang Dia firmankan, “Dan Tuhanmu mewahyukan (mengilhamkan) kepada lebah: ‘Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang diciptakan manusia. Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu).’ Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.” (An-Nahl: 68-69)

Sekarang, bandingkanlah apa yang dilakukan lebah dengan apa yang seharusnya dilakukan oleh seorang mukmin, contohnya seperti ini:

 

Hinggap di tempat yang bersih dan menghirup apa hanya yang bersih sahaja.

Lebah hanya hinggap di tempat-tempat terpilih sahaja. Lebah sangat jauh berbeza dengan lalat. Lalat sangat mudah ditemui di tempat longgokan sampah, kotoran, dan tempat-tempat yang berbau busuk. Tapi lebah, ia hanya akan mendatangi bunga-bunga atau buah-buahan atau tempat-tempat bersih yang mengandungi manisan madu atau nektar.

Begitulah pula sifat seorang mukmin. Allah swt. berfirman:

 

Hai manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu. (Al-Baqarah: 168 )

 

(Yaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang ma’ruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Qur’an), mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Al-A’raf: 157)

 

Mengeluarkan yang bersih.

Siapa yang tidak tahu madu lebah. Semuanya tahu bahawa madu mempunyai khasiat yang banyak untuk kesihatan manusia. Tapi dari organ tubuh manakah keluarnya madu itu? Itulah salah satu keistimewaan lebah. Madu lebah sangat kaya dengan kebaikan, sedangkan dari sudut organ tubuh pada binatang itu, mereka hanya mengeluarkan sesuatu yang menjijikan.

Begitu juga seorang mukmin, kita haruslah  menjadi manusia yang produktif dengan kebaikan. “Hai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan (khair), supaya kamu mendapat kemenangan.” (Al-Hajj: 77)

 

Al-khair adalah kebaikan atau kebajikan. Akan tetapi al-khair dalam ayat di atas bukan merujuk pada kebaikan dalam bentuk ibadah ritual. Sebab, perintah ke arah ibadah ritual sudah terwakili dengan kalimat “rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu” (irka’u, wasjudu, wa’budu rabbakum). Al-khair di dalam ayat itu justeru bermakna kebaikan atau kebajikan yang buahnya dirasakan oleh manusia dan makhluk lainnya.

 

 

Segala yang keluar dari dirinya adalah kebaikan. Hatinya jauh dari prasangka buruk, iri, dengki; lidahnya tidak mengeluarkan kata-kata kecuali yang baik; perilakunya tidak menyengsarakan orang lain melainkan membahagiakan; hartanya bermanfaat bagi banyak manusia; kalau dia berkuasa atau memegang amanah tertentu, dimanfaatkannya untuk sebesar-besar manfaat manusia.

 

Tidak pernah merosakkan

Seperti yang disebutkan dalam hadith yang sedang kita bincangkan ini, lebah tidak pernah merosak atau mematahkan ranting yang dia hinggapi. Begitulah seorang mukmin. Dia tidak pernah melakukan kerosakan dalam apa-apa hal sekalipun: baik secara fizikal mahupun tidak.. Bahkan dia melakukan pembaikan akidah, akhlak, dan ibadah dengan cara menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, mengubah kezaliman yang apa pun bentuknya dengan cara berusaha menghentikan kezaliman itu sedaya-upaya.

 

Bekerja keras

Lebah adalah pekerja yang bekerja keras. Ketika muncul pertama kali dari sarangnya (saat “menetas”), lebah pekerja membersihkan bilik sarangnya untuk telur baru dan setelah berumur tiga hari ia memberi makan larva, dengan membawakan serbuk sari madu. Dan begitulah, hari-harinya penuh semangat berkerja dan beramal. Bukankah Allah pun memerintahkan mukminin-mukminat untuk bekerja keras? Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain.” (As-Sharh / Alam Nasyrah: 7)

Kerja keras dan semangat pantang berundur itu lebih-lebih lagi dituntut lagi dalam menegakkan keadilan. Meskipun memang ramai manusia yang cinta keadilan, namun kebanyakan manusia tidak suka jika dirinya rugi dalam menegakkan keadilan.

 

 

Bekerja secara berkumpulan (Teamwork) dan sistematik

Lebah selalu hidup dalam koloni besar, tidak pernah menyendiri. Mereka pun bekerja secara kolektif, dan masing-masing mempunyai tugas sendiri-sendiri. Ketika mereka mendapatkan sumber sari madu, mereka akan memanggil teman-temannya untuk menghisapnya. Demikian pula ketika ada bahaya, seekor lebah akan mengeluarkan feromon (suatu zat kimia yang dikeluarkan oleh binatang tertentu untuk memberi isyarat tertentu) untuk mengudang teman-temannya agar membantu dirinya. Itulah seharusnya sikap orang-orang beriman. “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff: 4)

 

 

Tidak pernah melukai kecuali kalau diganggu

Lebah tidak pernah memulakan serangan. Ia akan menyerang hanya apabila terasa diganggu atau terancam. Dan untuk mempertahankan “kehormatan” umat lebah itu, mereka rela mati dengan melepas sengatnya di tubuh pihak yang diserang. Sikap seorang mukmin: musuh tidak dicari. Tapi jika ada, tidak lari.

Itulah beberapa karakter lebah yang patut dicontohi oleh orang-orang beriman. Bukanlah sia-sia Allah menyebut-nyebut dan mengabadikan nama binatang kecil itu dalam Al-Quran sebagai salah satu nama surah, surah yang ke 16: An-Nahl. Wallahu a’lam

 

Ogos 9, 2008 at 10:27 pm 2 comments

surat buat sahabat – hati

Apartment XX
XX Symonds Street
1010
Auckland

27 Julai 2008

Kehadapan saudara seislamku. Aku mulakan penulisan ini dengan menyebut nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang. Ku harap tulisan ini akan dikira sebagai ibadah dan bukan memenuhi nafsuku.
Saudara apa khabar? Aku disini, sihat insyaAllah. Cuma kadang kala selesema sedikit dek cuaca sejuk. Buat pengetahuan saudara, semalam, Auckland dilanda satu rebut yang sangat dahsyat. Menurut laporan berita, angin mencapai kelajuan melebihi 120km/jam!! Tapi tentu sekali angin itu tidak sekuat angin yang membinasakan kaum Ad dek kesombongan mereka. Walaupun ramai tidak terfikir tentang hal itu, aku bersyukur kerana telah bertemu sahabat –sahabat yang membantu aku menjadi insan berfikir. Harapnya sahabat – sahabatmu pun begitu juga.

 
Aku harap, dikala ini saudaraku berada dalam keadaan yang sihat sejahtera. Sihat jasmani dan yang paling penting, iman. Sesungguhnya penyakit jasmani itu, mudah kita sedari. Justeru itu, apabila badan kita ditimpa penyakit, cepat – cepat kita berjumpa doktor dan makan ubat untuk menjadi sihat. Tapi malang sekali, penyakit hati itu sangat sukar untuk kita kesan.

 
Ini disebabkan kita sebagai muslim ada 3 musuh utama. Yang pertama, syaitan. Yang kedua, nafsu dalam diri. Yang ketiga dakyah – dakyah mereka yang bencikan islam. Bayangkanlah! 3 sumber kejahatan berusaha untuk ‘mendemamkan’ hati kita! Jadi, kalau kita tidak berusaha untuk mencari bantuan, susah untuk kita memelihara hati kita.

 
Dahlah hati manusia itu mudah berbolak balik. Tambah lagi dengan 3 serangkai yang boleh menjahanamkan hati kita. Mahu atau tidak, satu – satunya cara untuk kita menyembuhkan hati ialah dengan mencari bantuan.

 
Berdoalah selalu. Bertahajudlah. Berzikirlah. Bacalah Al-Quran. Puasalah. Dekatkanlah dirimu pada Allah.
Andai hatimu berada dalam keadaan sihat, aku berdoa agar engkau terus hidup dengan hati yang sihat.
Andai kata hati mu demam, ku nasihatkan engkau agar mencari penawarnya.

 
Oh ya, aku juga perlu memberitahumu bahawa selepas ini, aku mungkin akan menulis kepadamu dalam masa 2 bulan sekali sahaja. Maaf, aku tahu engkau akan sedih dan merindui tulisan ku. Tapi, aku ada komitmen lain yang lebih penting.

 
Ku harap, putusnya suratku tidak bermakna putusnya ukhuwwah kita. Moga – moga engkau terus kekal dengan usahamu mencari hidayah. AKu pun mencarinya juga. Buat pengetahuanmu, bila kita dapat merasakan hidayah itu, sangat lazat perasaannya.

 
Malangnya, aku pun dah lama tidak merasai kelazatannya. Aku pun merinduinya. Tapi ku bimbang jika lama benar aku tidak bertemu dengannya semula, mungkin aku akan terlupa kelazatannya. Marilah kita bersama – sama mencari hidayah Allah.

 
Moga surat ku kali ini bermanfaat buatmu. Mana yang baik, engkau kongsilah dengan sahabat – sahabatmu. Yang buruk tu, tegurlah. Jumpa lagi di masa depan. InsyaAllah. Sekian.

Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,

Ali Imran : 133 

 

Sahabatmu
Muslim

Ogos 3, 2008 at 12:01 am Tinggalkan komen

Kiriman Terdahulu


Iklaneka

Ogos 2008
I S R K J S A
« Jul   Sep »
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031

Blog Stats

  • 62,763 hits