Archive for Julai, 2008

Anda Hebat!!

 “Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, Dia (Allah) memberikannya kefahaman dalam Ad-Deen”

(Riwayat Bukhori dan Muslim)

                Setelah penat berseminar, penulis duduk-duduk sebentar sambil melihat angin ribut yang masih lagi melanda ‘City of Sails’ ini. Fikiran penulis masih lagi mengimbau saat-saat duduk di dewan kuliah Eng 1.439 atau lebih mesra dengan jolokan ‘lecture theater lampu merah’. Saat-saat itu, penulis menumpukan sepenuhnya perhatian kepada ‘speaker’ yang mengemukakan tajuk kecil daripada tajuk besar pembentangan seminar hari ini, ‘Inilah Sejarah Kita’.

                “Sebenarnya, sejarah kita di Asia Tenggara merupakan sebahagian daripada sejarah agung kegemilangan di antara empayar yang paling hebat pernah wujud di muka bumi ini”, tegas ‘speaker’ dengan penuh semangat.

Kata-katanya itu menyebabkan penulis terlupa bahawa di luar sana sang badai dan sang awan sedang sibuk melepaskan angin dan air, menggelapkan bandar ini sejak pagi tadi. Ditambah pula dengan jumlah rakan pendengar yang ramai dan khusyuk mendengar, menyebabkan penulis lupa dengan keadaan di luar sana. ‘Major storm heading for Auckland, expected early Saturday’. Begitulah berita yang diterima dalam akhbar utama sehari sebelum seminar bermula. “Bolehke berseminar kalau cuaca macam ni? Orang akan datang ke?” getus hati kecil penulis. Namun, segala sangkaan penulis meleset sama sekali melihatkan jumlah pendengar yang hadir mengisi kekosongan kerusi di dalam lecture theatre itu.

Fikiran penulis teringat kembali ketika ‘speaker’ meminta salah seorang pendengar untuk berpantun;

Kalau roboh kota Melaka,

Papan di Jawa kami dirikan,

Kalau sungguh bagai dikata,

Badan dan nyawa hamba serahkan,

Mungkin pembaca melihat bait-bait ini sekadar mainan senda-gurau masyarakat Melayu zaman kesultanan Melayu dahulu. Tetapi, tatkala penulis mendengar pantun ini dilaungkan dengan penuh bersemangat, terlintas dalam hati penulis bagaimana Imaduddin Zanki, Nuruddin Zanki, dan Salehuddin cuba untuk menawan kembali kota Baitul Maqdis yang telah ditawan. Terlintas kehebatan generasi demi generasi pahlawan islam yang cuba untuk menembusi kota kebal Rom Byzantine di Constantinople (Istanbul≈Islambul) suatu ketika dahulu. Juga kehebatan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. dibawah pimpinan Saad ibn Abi Waqqas menggempur benteng terakhir kubu kisra Parsi. Terasa di dalam diri penulis bahawa muslim di Tanah Melayu dahulu juga memiliki semangat yang hebat. Bukan sekadar hebat menentang penjajahan Portugis, Belanda, mahupun Inggeris sahaja, malah hebat dalam mempertahankan tanah umat islam daripada diambil alih oleh pakatan pemusuh islam.

                Banyak sungguh ilmu pengetahuan sejarah yang telah disembunyikan oleh orientalis dan pemusuh islam telah dibongkarkan pada hari ini. Seusai sudah sesi bengkel pada petang itu, penulis terfikir, “Patutla blaja sejarah dulu macam bosan dan blur je. Rupa-rupanya ade banyak bahagian dalam sejarah dunia yang melibatkan asal-usulku tak dimuatkan. Walaupun peristiwa itu betul-betul berlaku, tetapi sesetengah fakta telah ditutup. Mujur aku join seminar ni”. Rasa kepuasan yang tidak terhingga.

                Semasa pembukaan seminar itu, potongan ayat-ayat daripada surah an-Nisa’ telah diperdengarkan. Antaranya:-

“Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak ikut berperang) yang tidak mempunyai ‘uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu darjat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar. (Iaitu) beberapa darjat daripadaNya, ampunan serta rahmat. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (4:95)

Manakala semasa mengakhiri pembentangannya, speaker sekali lagi membawakan satu ayat lagi yang hampir sama tujuannya:-

“Dan mengapa kamu tidak menafkahkan (sebahagian hartamu) pada jalan Allah, padahal Allahlah yang mempusakai (mempunyai) langit dan bumi? Tidak sama di antara kamu orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sebelum penaklukan (Mekah). Mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang-orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sesudah itu. Allah menjanjikan kepada masing-masing mereka (balasan) yang lebih baik. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. (57:10)

                Melihatkan ayat-ayat di atas dan suasana umat islam hari ini yang terumbang-ambing mencari keseronokan dunia semata, penulis berasa begitu bersyukur kerana masih dapat melihat malah dipertemukan segelintir sahabat-sahabat yang cuba kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber utama cara hidup. Dalam keadaan payah mana sekalipun, sahabat-sahabat ini sanggup meredah cuaca terburuk yang sedang melanda wilayah ini dalam tempoh sedekad, sekadar untuk mendengar pembentangan daripada ‘speaker’ yang hanyalah terdiri daripada pelajar biasa. Walaupun meredah angin dan hujan yang sejuk tiada tanding taranya dengan apa yang diceritakan dalam asbabun nuzul ayat-ayat suci di atas, namun langkah-langkah kecil itulah yang akan menjadi saksi di akhirat nanti. Jika di padang pasir, debu-debu menjadi saksi, maka biarlah manik-manik air hujan yang membasahi pakaianmu menjadi saksi. Dalam diri penulis, terdetik satu rasa, “Tahniah, ANDA HEBAT!!!”.

Wallahu’alam

26 Julai 2008

Advertisements

Julai 27, 2008 at 2:22 pm 2 comments

Program Ini Sejarah Kita

Assalamualaikum Warahmatullah

BeCA menjemput anda para pembaca yang budiman, untuk sama – sama memeriahkan majlis ilmu yang akan berlangsung pada hujung minggu ini. Program ini sejarah kita akan membawa anda untuk mengenali sejarah anda. Sejarah ANDA ini melewati garisan – garisan perkauman, kebangsaan mahupun kenegaraan. Sejarah anda ialah sejarah UMMAH anda.

Orang kata, tak kenal maka tak cinta. Maka marilah kita mengenal kembali UMMAH kita. Selagi kita tidak mengenalinya, masakan kita akan mencintainya?

Jadi, jemputlah datang. Sekali sekala, korbankan sedikit masa tidur, game atau rehat anda. Belilah saham di akhirat. InsyaAllah.

Masa: 9.30am – 3.00pm
Tempat: ENG 1.439
Tarikh: 26 Julai 2008, Sabtu
Lunch disediakan insyaAllah.

FIRMAN ALLAH

Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,

3:133

HADITH

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: “Barangsiapa yang melapangkan suatu kesusahan dari beberapa kesusahan seseorang Mu’min di dunia, maka Allah akan melapangkan untuknya suatu kesusahan dari berbagai kesusahannya pada hari kiamat. Barangsiapa yang memberikan kemudahan kepada seseorang yang kesukaran, maka Allah akan memberikan kemudahan padanya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutupi cela seseorang Muslim, maka Allah akan menutupi celanya di dunia dan di akhirat. Allah itu selalu memberikan pertolongan kepada hambaNya, selama hamba itu suka memberikan pertolongan kepada saudaranya. Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari suatu ilmu pengetahuan, maka Allah akan memudahkan untuknya jalan menuju kesyurga.Tiadalah sesuatu kaumitu berkumpul dalam sebuah rumah dari rumahrumah Allah, untuk membacakan kitab Allah – al-Quran – juga mentadarusnya antara mereka itu – membaca secara bergantian, melainkan turunlah kepada mereka ketenangan hati, ditutupi oleh kerahmatan Tuhan, juga diliputi oleh para malaikat dan Allah menyebutkan mereka itu di kalangan makhluk yang ada di sisinya. Barangsiapa yang diperlambatkan oleh amalan-nya sendiri, maka ia tidak akan dipercepatkan oleh keturunan darahnya – yakni bahwa kebahagiaan itu tergantung pada amalan seseorang dan bukan karena darah ningrat atau keturunan.” (Riwayat Muslim)

 

 

 

Jemputlah datang =)

BeCA

 

Julai 22, 2008 at 3:10 pm Tinggalkan komen

Bagaimana Masamu?

 

Muslim

Apartment XX

Auckland 1010

New Zealand

 

Assalamualaikum Warahmatullah

Sahabat yang tercinta,

Masa. Apa itu masa? Ramai yang akan menjawab, masa ialah saat, minit dan jam. Kalau begitu, apa pula saat, minit dan jam?

Masa. Bukanlah masa itu objek yang boleh dilihat, dihidu, dan dipegang. Kebiasaannya, kita tidak mengambil endah benda – benda yang berciri sedemikian. Tapi, andai kata masa itu tidak signifikan, masakan ada satu surah yang dimulakan dengan Allah menyebut tentang masa?

Tetapi, jika benar masa itu penting, masakan ramai manusia yang membuang masa tanpa tujuan? Jadi soalnya, apa itu masa? Adakah masa itu semata – mata saat, minit dan jam? Persoalan itu aku biarkaan untukmu fikirkan. Apa itu masa?

Sahabat yang tercinta,

Nabi pernah bersabda, “ Pada hari kiamat, seseorang tidak bergerak sebelum ditanya tentang beberapa hal; untuk apa umurnya dihabiskan, untuk apa masa mudanya dilewatkan, dari mana harta bendanya diperoleh, kemana hartanya dibelanjakan, dan tindakan yang dilakukan dengan hartanya”

Aku memilih untuk menulis tentang masa kerana aku sendiri tidak boleh menjawab dua soalan yang pertama. Tentang masa. Aku  juga sepertimu. Ada cita – cita, ingin berjaya dalam peperiksaan, rumah besar, kerja yang elok, pasangan yang menawan dan macam – macam lagi. Kehidupanku 20 tahun dipenuhi dengan usaha –usaha kearah itu.

Aku dahulu dalam keadaan tertipu. Hidup yang dipenuhi maksiat dan fitnah. Walaupun dahulu aku tahu, Islam itu agama, aku tahu halal dan haram dan ibadah, namun hatiku tidak pernah tertarik untuk mencari islam. Bagiku, cukuplah solat dan puasaku. Jujur, aku dahulu memandang sinis mereka yang hidup dengan islam. Kolot, itu kata hatiku.

Bukannya ku tak tahu mati itu benar, syurga dan neraka juga benar. Namun, pengetahuan itu sekadar ilmu. Lekat di kepala, tidak di hati.

Maka, sebab itulah aku menulis tentang masa. Aku tidak mahu engkau juga sepertiku. Aku tidak mahu engkau hidup tertipu, dalam keadaan lalai dan leka.

Bagaimana denganmu?

Harapnya masa mudamu lebih elok dariku. Harapnya engkau pada saat ini tergolong dalam orang – orang yang terpelihara.

Memandangkan semester akan bermula besok, suka ku ingatkan sekali lagi tentang kepentingan menjaga masa. Bukanlah yang aku maksudkan itu semata – mata pergi ke kelas, mengulangkaji, berpersatuan, dan lain – lain. Tapi lebih dari itu.

Janganlah nikmat masa yang diberikan itu dihabiskan semata – mata untuk itu. Jangan pula tinggal kan semua itu. Gunalah sebaiknya masa yang ada unduk mencari hikmah – hikmah yang bertaburan di dunia. Gunakanlah masa yang ada untuk mencari hidayah tuhan. Gunakanlah masa yang ada untuk bertaubat dan memperbaiki diri.

Masa. Boleh jadi masa itu menjadi sebab kita mendapat nikmat. Boleh jadi juga, masa itu menyebabkan kita di azab.

 Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia berkata: “Ambillah, bacalah kitabku (ini).” Sesungguhnya aku yakin, bahwa sesungguhnya aku akan menemui hisab terhadap diriku. Maka orang itu berada dalam kehidupan yang diridhai, . dalam syurga yang tinggi, buah-buahannya dekat, (kepada mereka dikatakan): “Makan dan minumlah dengan sedap disebabkan amal yang telah kamu kerjakan pada hari-hari yang telah lalu.”

AL Haqqah: 19 -25

Masa. Rancanglah masamu. InsyaAllah engkau akan terpelihara.

Sahabatmu

Muslim

Julai 20, 2008 at 3:06 pm Tinggalkan komen

Surat Buat Sahabatku

Muslim

Apartment XX

Auckland 1010

New Zealand

 

Assalamualaikum Warahmatullah

Kehadapan sahabatku yang bergelar muslim/ muslimah. Semoga engkau berada dalam keadaan sihat sejahtera pada waktu ini. Aku dahului warkah ini dengan ucapan maaf. Maaf kerana aku tidak menulis buat sekian lama. Maaf kerana aku telah mengabaikan tanggungjawabku. Akhir sekali maaf kerana aku gagal untuk mengingatkan yang tahu dan mengejutkan yang lena.

Saudara/I,

Kita telah bercuti selama lebih kurang dua minggu. Bagaimana dengan cutimu? Alhamdulillah aku telah mengisi masa cutiku dengan berfaedah. Aku berharap agar engkau pun begitu juga. Sesungguhnya masa itu ialah suatu aset yang sangat bernilai bagi manusia. Tapi, alangkah ramai sahabat – sahabat kita yang terleka membuangnya begitu sahaja. Tidakkah mereka tahu bahawa kita akan dipertanggungjawabkan tentang masa kita bila kita mati nanti?

Aku berharap engkau tidak tergolong dalam golongan yang membuang masa itu. Eh, bercakap tentang masa, terkenang kembali waktu muda kita. Ingatkah engkau tentang waktu kita di sekolah rendah dahulu? Sewaktu kita sama – sama ke sekolah agama, kelas Al-Quran, dan surau? Hehe, rajin sungguh kita waktu kecil dulu kan? Lepas penat lumba basikal keliling taman, masih larat untuk ke surau. Aku terkenang waktu ustazah bercerita tentang syurga dahulu. Kita sama – sama yakin yang kita akan ke sana. Aku juga ingat waktu kecil di mana kita masih belum tercemar dek fitnah – fitnah dunia. Indah benar dunia pada waktu itu. Tak perlu risau tentang wang, sewa, dan macam – macam lagi.

Dahulu, tidak pernah tergambar dalam benakku menyaksikan sahabat – sahabat sepermainanku terjebak dengan fitnah – fitnah dunia. Lihatlah si PPPP itu. Dahulu, dialah nombor satu di kelas agama. Dialah yang paling rajin ke surau. Tapi sekarang, dia mula menjauhkan diri. Bukan setakat itu sahaja. Macam – macam lagi maksiatnya.  Alangkah ruginya dia. Bagaimana denganmu? Ku harap, engkau masih tergolong dalam golongan yang terpelihara. InsyaAllah. Bukankah Allah telah berfirman dalam surah As – Shoff?

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.

Oh, aku hampir terlupa. Bagaimana dengan peperiksaanmu tempoh hari. Maaf kerana aku lupa untuk member peringatan kepadamu sewaktu musim peperiksaan. Aku juga sepertimu, ingin berjaya dengan cemerlang. Namun, bila ku fikirkan balik, apa salahnya mengorbankan sedikit waktu buat memberi peringatan? Rugi. Memang manusia itu sentiasa rugi. Kecuali yang beramal soleh dan berpesan – pesan dengan kebaikan dan kesabaran.

Kesabaran, itulah kelemahan ku. Engkau lain. Aku kagum denganmu. Penyabar, konsisten dan komited. Alangkah eloknya jika umat ini mempunyai lebih ramai lagi insan sepertimu. Tapi, janganlah engkau komited untuk perkara dunia sahaja. Cubalah komited untuk Allah sekali. Nescaya akan bahagia dan terasa kemanisannya.

Bagaimana dengan amalan – amalanmu. Sebelum periksa, ku lihat engkau begitu rajin bersolat hajat. Lama betul engkau berdoa. Sekarang bagaimana? Harapnya engkau masih rajin seperti dulu. Lama benar aku tidak melihatmu di surau. Dahulu masa kecil, tiap – tiap hari kita ke surau. Tapi sekarang, aku hanya melihatmu di surau pada Solat Jumaat. Mungkin aku tiba lewat daripadamu. Tetapi, ingatlah, antara orang yang tergolong dalam orang yang dinaungi arasy pada hari kiamat nanti ialah pemuda yang hatinya terikat pada masjid. Marilah berdoa agar tergolong dalam golongan ini.  

Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir, kecuali orang-orang yang mengerjakan shalat, yang mereka itu tetap mengerjakan shalatnya, (70: 19-23).

Eh, rupanya sudah 30 minit aku menulis warkah ini. Nampaknya aku harus berhenti dahulu. Bukannya aku tidak mahu bercerita lagi. Cuma, aku pun tidak ingat apa yang ingin ku ceritakan. Lagipun, aku ada kerja lain yang perlu ku siapkan. Nanti, bila ada kelapangan, akan ku tulis lagi untukmu. InsyaAllah.

Akhir kalam, ampunilah kekuranganku. Doakanlah kesejahteraanku. Tetaplah dengan islam. Islam kerana pilihan bukan kerana warisan. Sekian, Assalamualaikum. Hingga ketemu lagi =) 

Sahabatmu,

Muslim

Julai 10, 2008 at 10:11 pm 3 comments


Iklaneka

Julai 2008
I S R K J S A
« Jun   Ogo »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Blog Stats

  • 62,763 hits