Kahwin-Kahwin Malaysia

Disember 29, 2007 at 1:24 am Tinggalkan komen

Dipetik daripada nukilan ustaz muhammad fauzi

Alam perkahwinan adalah alam baru bagi semua manusia. Rasulullah s.a.w. menyifatkannya sebagai alam penyempurnaan iman. Di alam yang baru ini banyak perkara baru yang akan dipelajari. Ia seolah-olah berkenalan dengan satu dunia baru yang cukup unik.

Saya masih ingat di dalam satu program bersama pelajar lelaki dan perempuan pada tahun 1996. Ketika itu saya masih bujang. Semasa rehat, saya menawarkan diri untuk keluar ke kedai membeli sedikit makanan dan minuman. Masuk kembali ke dalam rumah, makanan dan minuman yang saya beli, kami buka dan mula menjamahnya. Seorang senior yang sudah berkahwin bertanya, mana makanan dan minuman untuk pelajar perempuan? Saya tergamam. Program bersama selama berjam-jam, tapi saya tak rasa perlu untuk membelikan makanan dan minuman mereka.

Ini kekurangan orang bujang. Selain dari alam ghaib, sebahagian dari alam manusia yang zahir di depan mata pun dia tak nampak. Patutlah ada pendakwah yang mensyaratkan status berkahwin sebagai syarat penglibatan di dalam perbincangan untuk buat keputusan-keputusan urusan dakwah. Kurang penghayatan tentang tabiat jenis lain mengurangkan sifat matang dalam keputusan-keputusan yang dibuat.

Buat Persediaan Sebaiknya

Mungkin kerana terpengaruh dengan nasihat-nasihat orang kahwin ‘veteran’, seorang kenalan saya membuat satu persediaan yang cukup luar biasa sebelum berkahwin. Dia makan telur ayam kampung beberapa biji setiap hari. Madu lebah (madu hutan) sebotol besar, selesai hanya dalam masa seminggu. Tongkat ali dan tongkat-tongkat yang lain, menjadi minuman pagi dan petang. Peliknya saya tengok. Apa agaknya tasawwurnya tentang alam rumahtangga? Gelanggang tinju ke?

Persediaan yang terbaik sebelum berkahwin adalah melengkapkan diri dengan keperibadian muslim sejati. Rumahtangga yang baik adalah rumahtangga yang didirikan oleh dua manusia lelaki perempuan yang iltizam dengan agama. Itu persediaannya dan itulah asas yang perlu menjadi kebimbangan semua orang.

Bagi lelaki;

tanamkan sifat bertanggungjawab

tanamkan sifat belas dan kasihan kepada wanita yang lemah

binalah sifat bertolak ansur

binalah kesediaan untuk berbincang dan mendengar pandangan pasangan

binalah kemampuan dan kemahiran yang boleh digunakan untuk mencari rezeki yang halal

binalah kekuatan diri untuk melindungi isteri dan anak-anak dari segala bahaya yang mendatang

Bagi wanita;

belajarlah untuk setia kepada hanya seorang manusia iaitu suami

mula agihkan kasih sayang yang sebelum ini diberikan kepada hanya ibu bapa kepada suami

lawan nafsu dengan mengawal mulut dan gaya-gaya ego untuk menjaga maruah dan air muka suami walau pun suami tidak mempunyai apa-apa kelebihan

belajar-belajarlah memasak kalau sebelum ini biasa beli makanan luar sahaja

bersedialah untuk menjadi ibu kerana anda mungkin hanya ada masa 9 bulan 10 hari sahaja untuk belajar

Berapa ramai manusia yang kita lihat melakukan persediaan yang hebat sebelum berkahwin tetapi akhirnya bercerai berai. Hari ini pun sebuah akhbar perdana menyiarkan di muka depannya kes cerai satu pasangan yang kos perkahwinannya sahaja menelan belanja RM3.5 juta. Persediaan untuk kahwin sebesar RM3.5 juta tidak mampu mengekalkan ikatan suami isteri lebih dari 1 tahun 3 bulan? Ya, kerana persediaan material tidak akan menjamin kebahagiaan. Persediaan sifat-sifat dalamanlah yang akan mengekalkan rumahtangga. Dua jiwa yang mempunyai matlamat perkahwinan yang berbeza, bagaimana akan kekal sebagai suami isteri?

 

Mulakan Rumahtangga Dengan Belanja Bulanan Yang Paling Minima

Satu lagi nasihat saya kepada semua pasangan yang akan mendirikan rumahtangga dalam waktu yang terdekat ini adalah agar menyusun perbelanjaan bulanan rumahtangga baru ini dengan kadar yang paling minima. Bujang ada kiraannya sendiri di dalam berbelanja. Orang kahwin juga mempunyai cara kira yang tersendiri di dalam berbelanja.

Pasangan baru mungkin tidak dapat menjangkakan perbelanjaan yang bakal dihadapinya pada masa akan datang kerana masih berfikir seperti orang bujang. Keperluan dakwah akan meningkat dengan terbinanya rumahtangga ini. Banyak barang yang boleh dimiliki oleh orang bujang, mungkin tidak oleh orang kahwin di awal alam perkahwinannya. Bersabarlah untuk tidak meniru pasangan-pasangan lain yang membina keperluan dan perhiasan rumah seawal perkahwinannya.

Sekadar berkongsi dengan pembaca; saya membeli tv terpakai (dengan harga RM100.00) selepas tiga tahun pulang ke Malaysia (selepas 5 tahun berkahwin). Tv yang sama itulah yang saya gunakan sampai sekarang. Membeli kerusi selepas dua tahun pulang. ‘Kereta sempurna’ pertama saya dibeli selepas dua tahun pulang Malaysia. Sebelumnya ‘kereta mr. bean’ yang setiap kali balik kampung kena lihat ramalan cuaca terlebih dahulu. Kalau hujan, air akan bertakung dilantai (ikan mati pun boleh hidup balik). Sebelum ‘kereta mr. bean’, saya berulang Kajang-Cheras dan ke tempat-tempat lain dengan menunggang motorsikal ayah saya yang 10 tahun tidak dihidupkan cukai jalan. Kali pertama menukar langsir adalah pada tahun 2005. Kali pertama membeli komputer pada tahun 2003. Kali pertama membeli PDA pada tahun 2005.

Pembaca rasa saya berjimat? Ada lagi rakan-rakan saya yang jauh lebih lebih berjimat dari saya.

Selamat Pengantin Baru

Akhirnya saya ucapkan ’selamat pengantin baru’ kepada semua pasangan yang akan mendirikan rumahtangga pada bulan Disember ini. Tidak lupa juga buat dua orang kenalan yang menetap di Alor Star, Kedah yang baru mendirikan rumahtangga beberapa minggu lepas. Semasa ziarah, nampak seghi kat muka depa ni (tidak bermaksud yang sebelum ni nampak serabut).

Kepada semua didoakan:

“Barakallahu lakuma, wa barak ‘alaikuma wa jam’a bainakuma fil khair, wa razaqakuma zurriyatan tayyibatan tanfa’ul islam wal muslimin”

“Semoga Allah membarakahi kalian dan melimpahkan barakah kepada kalian, dan mengumpulkan kalian dalam kebaikan, serta mengurniakan kalian zuriat yang memberi manfaat kepada Islam dan muslimin keseluruhannya”

Entry filed under: al kisah. Tags: .

Berapa Nilai Masa Pada Anda? NILAI MASA MUSLIM

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Trackback this post  |  Subscribe to the comments via RSS Feed


Iklaneka

Disember 2007
M T W T F S S
« Nov   Jan »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  

Blog Stats

  • 62,519 hits

%d bloggers like this: