RAMADHAN PERLU DIHIDUPKAN SIANG MALAM 24/7

September 22, 2007 at 10:13 am 1 komen

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh
Dipetik dari laman Berita Harian Online 11092007

Bismillah

PELUANG mendapatkan pahala terbuka luas kepada setiap Muslim. Segala syariat yang dipertanggungjawabkan Allah untuk dilaksanakan mahupun ditinggalkan, mempunyai falsafah tersendiri yang semuanya menjurus kepada penambahan pahala dan pengampunan dosa.

Kelebihan syariat Islam berbanding suruhan dalam agama lain ialah ganjaran yang bakal diperoleh walaupun sesuatu amalan itu belum lagi dilaksanakan. Maksudnya, Allah menjanjikan ganjaran terhadap perkara yang belum terjadi. Ia adalah galakan supaya muslimin lebih bersungguh melakukannya dan ganjaran itu akan berlipat ganda selepas ia dilaksanakan.

Berhubung kegembiraan hati dan jiwa muslimin menyambut kedatangan Ramadhan, ia juga adalah satu pahala walaupun ibadat puasa belum lagi bermula. Ini dijelaskan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan bulan Ramadhan akan diharamkan dirinya daripada simbahan api neraka.”

Hanya bergembira dan seronok dengan kedatangan Ramadhan sudah dijanjikan manfaat oleh Allah. Betapa tingginya kasih sayang Allah terhadap golongan mukmin yang sentiasa merebut peluang menambah amal pada bulan mulia di sisi-Nya.

Ramadhan adalah bulan mulia daripada sekalian bulan yang Allah anugerahkan khas kepada umat Islam kerana ada banyak kelebihan dan kemuliaan di dalam bulan itu yang tidak terdapat pada bulan lain.

Rasulullah SAW menyebut dalam sabdanya bermaksud: “Sekiranya umatku mengetahui kebesaran dan kelebihan Ramadhan, nescaya mereka akan meminta Ramadhan itu setahun penuh.”

Hadis ini menjelaskan bahawa kelebihan Ramadhan bukan sekadar terletak kepada ibadat puasa. Sesungguhnya pemahaman segelintir masyarakat yang menyebut Ramadhan ialah bulan puasa perlu diperbetulkan. Sandaran itu seolah-olah menggambarkan puasa itu hanya di bulan Ramadhan. Apabila pemikiran manusia sudah tertumpu ke situ, maka kelebihan lain dalam bulan mulia itu seolah-olah dilupakan.

Untuk memperoleh kelebihan Ramadhan, setiap mukmin perlu melipatgandakan amalan pada bulan Ramadhan dan hadis-hadis juga tidak mengkhususkan manfaat diperoleh hanya jika sekadar berpuasa semata-mata. Apa ertinya puasa jika tiada penghayatan di sebalik falsafah ibadat itu.


Membaca

Ramadhan juga bulan diturunkan al-Quran. Allah berfirman bermaksud:

“Ramadan itu adalah bulan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan mengenai petunjuk itu dan pemisah di antara yang hak dan yang batil.” (Surah al-Baqarah, ayat 185).

Malaikat Jibril membawa wahyu dari Allah sebagai isyarat pelantikan Rasulullah SAW sebagai nabi dan rasul berlaku pada 17 Ramadan.

Sehubungan itu, kita digalakkan mengisi Ramadhan dengan mendampingkan diri kepada al-Quran. Ini termasuklah bertadarus dan memahami makna serta isi kandungan al-Quran. Ada kalangan kita berlumba untuk khatam al-Quran pada bulan Ramadhan. Memang tidak dinafikan semangat ini baik dan perlu dijadikan budaya kebiasaan, tetapi alangkah baik jika diambil langkah usaha memahami maksud ayat di dalamnya.

Zaman sekarang, kemudahan untuk memahami isi kandungan al-Quran amat mudah. Terdapat banyak kitab al-Quran yang diterjemah sebagai panduan untuk mengetahui terjemahan ayat al-Quran. Alangkah baik jika diluangkan sedikit masa selepas bertadarus dengan meneliti maksud ayat yang dibaca supaya lebih dekat diri kita dengan kitab Allah yang bermukjizat ini.

Bulan Ramadhan ialah bulan penghapus dosa. Sabda Nabi SAW yang maksudnya: “Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan adalah penghapus dosa yang dilakukan antara kedua-dua tempoh itu, asal saja bukan dosa besar.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

Maknanya, Ramadhan itu perlu dihidupkan siang dan malam. Jika orang memahami Ramadhan itu sekadar bulan puasa, maka apa pula aktiviti mereka pada malam bulan Ramadhan untuk mendapatkan keredhaan Allah.

Orang mukmin tidak perlu membuat jadual aktiviti malam Ramadhan kerana ia sudah disediakan oleh Allah dan kita hanya melaksanakan saja. Penyusunan program yang begitu cantik ini adalah suatu bonus yang mesti diambil peluang kerana sudah terbentang di depan mata.

Dalam bulan Ramadhan ada satu malam digambarkan Allah sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam yang dimaksudkan ialah Lailatul Qadar, malam penuh kemuliaan dan ketinggian yang akan diberikan kepada orang beriman yang bermujahadah mencari keredhaan Allah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pada bulan Ramadhan ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang diharamkan baginya kebajikan pada malam itu, dia akan diharamkan daripada segala kebajikan.”

Rasulullah SAW menyatakan bahawa malam al-Qadar itu hanya dikhaskan dan diberikan kepada umatnya saja dan tidak diberikan sebelumnya kepada kaum dan umat terdahulu. Lantaran itulah Baginda menyarankan kepada umatnya supaya menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan kerana Lailatul Qadar dianugerahkan Allah pada salah satu daripada malam itu.

Kesungguhan Rasulullah SAW terhadap malam itu menyebabkan Baginda beriktikaf di masjidnya di samping memerintahkan sekalian ahli keluarganya supaya berjaga untuk memperoleh Lailatul Qadar.

Renunglah dan hayatilah kelebihan lain yang dirangkumkan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Umatku diberi Allah lima perkara di bulan Ramadhan yang tidak diberi kepada umat terdahulu, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi, malaikat akan memohon keampunan kepada Allah untuk orang berpuasa sehingga sampai waktu berbuka, syaitan dibelenggu sehingga mereka tidak boleh berleluasa seperti biasa, Allah akan menghiasi syurga setiap hari (sebagai kurniaan untuk orang yang berpuasa), Allah akan mengampunkan dosa mereka yang berpuasa sehingga akhir Ramadhan.”

Penulis ialah Penolong Pengarah, Pusat Pemantapan Akidah JAKIM Jelebu, Negeri Sembilan.

 

 

Entry filed under: al kisah. Tags: .

Ketibaan Ramadhan… SEPARUH MASA KEDUA PIALA TAQWA!

1 Komen Add your own

  • 1. shar  |  September 29, 2007 at 3:10 am

    Salam
    Saya bersetuju benar dengan penghidupan Ramadan siang dan malam. Berdasarkan itu, saya kira penghidupan Islam itu adalah sepanjang hayat, bukan kerana Ramadhan sahaja.
    Terima kasih

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Trackback this post  |  Subscribe to the comments via RSS Feed


Iklaneka

September 2007
M T W T F S S
« Aug   Oct »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930

Blog Stats

  • 62,519 hits

%d bloggers like this: