Suatu perkongsian

Julai 11, 2007 at 8:50 am Tinggalkan komen

Tajdid Iman: Perbanyak amalan wajib, sunat mantap kualiti iman

Bersama Dr Juanda Jaya

RAMAI hamba Allah yang mengeluh: “Alangkah cepatnya hatiku berubah”. Sekejap kuat membara sengatan iman di hati, tetapi lama kelamaan pudar juga oleh sengatan syahwat yang berbisa. Jika dulu bersemangat mengkaji dan mengamalkan Islam, kini semangat itu menjadi surut disebabkan kesibukan dunia yang tak ada penghujungnya.

Begitulah keadaan hamba yang semakin tenggelam ke dasar lautan duniawi tanpa menyedari nafas imannya semakin lemah dan akan mati lemas akhirnya. Beruntunglah sesiapa yang mahu memperbaiki imannya, menjaga dan melindungi iman seperti dia melindungi hartanya atau popularitinya supaya tidak musnah.

Antara tanda punca kelemahan iman seorang hamba yang menyebabkan dia tersungkur di lembah dosa ialah:

Ibadat tidak berkualiti. Sesiapa yang berasa dirinya jauh daripada Tuhannya, terseleweng daripada jalan-Nya ataupun berhenti terlalu lama dalam permainan nafsu syahwatnya, kembalilah semula ke jalan Allah supaya dia dicintai Allah.

Bawalah dua bekalan asas iaitu ibadat wajib dan sunnah. Mungkin ketika iman lemah dia tidak sama sekali meninggalkan kewajipan tetapi ibadatnya itu kurang berkualiti dan sedikit jumlahnya. Padahal, iman diukur menurut amalan wajib dan sunat yang boleh melahirkan jiwa hamba dekat kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Allah berfirman: Tidaklah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai selain daripada kewajipan yang Aku fardukan kepadanya. Dan hamba-Ku itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadat sunnah sehingga Aku mencintainya.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Ramai hamba Allah yang tertipu dengan amalannya sedangkan ia hanyalah umpama debu pada pandangan Allah.

Hati yang tidak khusyuk. Awal kerosakan amal ialah hati yang tidak dapat menghadirkan khusyuk. Penyakit itu akan bertambah teruk apabila ia meninggalkan karat kemalasan ketika beribadat. Berjumpa dan berhubungan dengan Allah tanpa wujud perasaan seolah-olah kosong dan hampa. Dia melakukannya sekadar mendirikan kewajipan saja, tetapi tiada kemanisan ibadat.

Khusyuk hanya diperoleh dengan jalan mujahadah. Punca hilangnya khusyuk ialah hati terlalu keras. Cara melembutkan hati ialah dengan melemahkan nafsu. Sahabat membiasakan diri dengan sujud yang panjang pada akhir malam seperti mana sunnah yang diajarkan Rasulullah SAW.

Baginda memanjangkan sujud dalam solat malamnya selama kurang lebih membaca lima puluh ayat al-Quran, begitu juga ketika rukuknya. Saat paling dekat seorang hamba kepada Allah ialah ketika dia sujud. Ia mampu melembutkan hati dan mengubat jiwa yang tenat tanpa iman.

Berlebihan dengan perkara yang mubah. Bercuti boleh meredakan ketegangan, menjamu selera dan membeli-belah baik untuk mengubat kebosanan, memakai pakaian yang indah dan mahal tidak dilarang, membeli perhiasan dan apa yang menyukakan hati boleh melahirkan kesyukuran kepada nikmat Allah Taala.

Akan tetapi, perkara sebegini kadang-kadang membuat kita leka. Jika berlebihan segala aktiviti untuk memanjakan diri, dibimbangi akan melemahkan semangat perjuangan. Mengaburkan mata dan hati yang celik dan akhirnya larut dalam kesibukan dunia hingga melupakan akhirat.

Tidak menghadiri majlis ilmu. Manusia mudah lupa dan hilang pedoman hidupnya, tidak jelas matlamat, arah dan tujuannya. Siapa dirinya, berasal dari manakah dia, mahu ke mana dan apa yang mahu dicapainya?

Semua itu memerlukan jawapan yang pasti tetapi manusia yang lemah iman sudah kehilangan matlamat hidupnya. Untuk mendapatkan kembali pedoman hidupnya supaya tidak tersalah jalan, dia perlukan hidayah iaitu ilmu Allah.

Mengalami gejala kesedihan dan kerisauan berlebihan. Apabila iman menipis, lupa kepada Allah, akan lahirlah perasaan sedih, susah hati dan murung. Benarlah firman Allah Taala yang bermaksud: “Hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

Mengingati Allah maksudnya ingatan yang membawa kepada kegembiraan. Gembira dengan takdir-Nya, reda dengan jalan hidup yang dipilih untuknya, untung rugi harta, susah senang kehidupan kerana manusia lahir ke dunia dengan senario yang termaktub di Lauh Mahfuz.

Setiap mukmin memiliki hati yang mampu berbisik mengenai keadaan imannya, siapakah yang paling mengetahui diri kita melainkan Allah Taala dan diri kita sendiri.

Penulis bertugas di Pejabat Mufti Sarawak

Bismillahirrohmanirrohim

BUDAYA MENULIS SEBAGAI TANGGUNGJAWAB AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR

Oleh : Ummi Najibah Bt Tanuri

Menurut Imam al-Qurtubi, Allah telah menjadikan amar makruf nahi mungkar sebagai garis pemisah di antara orang yang beriman dan orang munafiq. Ia menjadi ciri utama orang beriman iaitu amar makruf nahi mungkar. Pelaksanaan amar makruf nahi mungkar adalah wajib bagi setiap individu selagi tidak tertubuhnya badan atau pasukan yang betul-betul melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

Firman Allah :

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya. (Ali-Imran;3:104)

Kita sebagai umat Islam yang prihatin dan bertanggungjawab perlu melaksanakan tuntutan yang diperintahkan oleh Allah. Tuntutan tersebut perlu dilaksanakan dengan pelbagai cara atau bentuk. Salah satu cara atau bentuk bagi melaksanakan amar makruf nahi mungkar ialah dengan menjadikan budaya menulis sebagai tanggungjawab melaksanakannya.

Melalui penulisan kita dapat menyampaikan kebaikan yang perlu dilakukan dan keburukan yang perlu dijauhkan. Kita seharusnya menjadikan bidang penulisan ini sebagai medan dakwah kita. Medan untuk kita berkata-kata dan berbicara perkara yang hak dan perkara yang batil. Hal ini kerana, kemungkaran yang berlaku sangat berleluasa umpama virus yang menyerang komputer.

Bermacam-macam cara kita dapat menyampaikan amar makruf nahi mungkar melalui penulisan. Antaranya ialah melalui penulisan artikel yang mana kita dapat muatkan atau paparkan dalam majalah, akhbar ataupun dalam internet. Sebagai contoh yang dapat kita ambil di sini ialah kritikan dan teguran yang dilakukan oleh saudara Faisal Tehrani melalui internet terhadap satu filem di Malaysia. Beliau menegur dan menghina filem yang diarahkan oleh Yasmin Ahmad yang mana terdapat banyak perkara yang bercanggah dengan syariat Islam.

Kita juga boleh menyampaikan penulisan melalui rencana atau berita. Memandangkan banyak penulisan sekarang terutama yang berbentuk berita banyak yang menyeleweng dari perkara yang sebenar. Justeru, kita sebagai orang yang faham dan mengetahui hakikat yang mana benar dan yang mana salah perlu menyampaikan dengan sedaya upaya agar masyarakat tidak berada dalam dilema pendustaan dan kejahilan.

Selain itu, penulisan melalui teks atau karangan iaitu melalui penerbitan buku dan kitab-kitab juga dapat melaksanakan amar mafruf nahi mungkar. Contoh buku dan kitab yang terkenal ialah Fiqh Sirah hasil tulisan Syed Ramadhan Al-Buti, Ala Toriq ad-Dakwah hasil tulisan Ustaz Mustafa Masyhur, buku hasil pemikiran Al-Maududi dan sebagainya.

Melalui budaya menulis ini kita dapat memahamkan orang yang masih tidak faham dan orang yang tidak mahu faham tentang Islam. Walaupun yang memberi kefahaman adalah yang Maha Kuasa, namun pokok pangkalnya kita sebagai hamba Allah yang faham tentang Islam perlu berusaha dalam menyampaikan kefahaman tentang Islam kepada manusia.

Firman Allah :

Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia (supaya) kamu menyuruh dengan makruf dan melarang dari yang mungkar. (Ali-Imran;3:110)

Dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar, kita tidak perlu rasa gentar dengan pelbagai ancaman dan cabaran. Kita perlu berani menegakkan kebenaran. Lumrah dalam berdakwah ada rintangan dan penghalangnya. Masyarakat hari ini perlu disedarkan dari kelalaian dan kesedaran. Maka, melalui budaya menulis dapat menyedarkan manusia yang terus lalai dan leka dibuai arus budaya hedonisme. Bukan sahaja pembaca, malah sekaligus dapat menyedarkan dan mengingatkan kepada penulis sendiri tentang perkara yang disampaikan kepada pembaca.

Budaya menulis ini kita perlu terapkan dan tanamkan kepada generasi muda agar bidang penulisan ini menjadi salah satu medan untuk kita melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Kita mengharapkan usaha-usaha penulisan dapat dipergiatkan lagi dan diteruskan serta dapat melahirkan penulis-penulis Islam yang mampu berperanan melalui ketajaman penanya untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar serta melihat Islam kembali dihayati dalam erti kata yang sebenar.


Ummi Najibah Bt Tanuri

Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

Entry filed under: al kisah. Tags: .

Belia Cergas Auckland

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Trackback this post  |  Subscribe to the comments via RSS Feed


Iklaneka

Julai 2007
M T W T F S S
    Aug »
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  

Top Posts

Blog Stats

  • 62,516 hits

%d bloggers like this: