Archive for 5 Jun 2008
al-ikhlas
- Dari Abu Sa’d, ada seorang mendengar seorang lelaki membaca surah al-Ikhlas dengan berulang-ulang kali. Pada pagi keesokan ia datang menemui Nabi SAW, lalu ia menyebut cerita itu kepada beliau seolah2 ia merasa surah itu sgt sedikit, lalu nabi SAW bersadba,”Demi jiwaku di-TanganNya, sesungguhnya surah itu menyamai satu pertiga al-Quran”Mengapa agaknya surah sependek ini disamakan oleh Rasulullah dengan 1/3 daripada al-Quran? Sila teruskan pembacaan anda untuk mengetahui lebih lanjut.
1. Katakanlah (wahai Muhammad) Allah itu Esa.
Pernyataan yang sangat penting telah disampaikan oleh Allah kepada kekasihNya melalui ayat di atas. Di situlah letaknya suatu hakikat yang paling tinggi dalam kedudukan islam serta akidah seorang muslim. Tanpa hakikat ini, akidah tidak sempurna. Hakikat keesaan Allah jugalah yang mengasingkan antara dua golongan. Golongan kanan yang di sisinya syurga serta segala kebaikan dan golongan kiri yang di sisinya neraka serta segala keburukan.
PengEsaan Allah sepatutnya memenuhi segenap ruang dalam hati setiap muslim. Dengan pengEsaan inilah manusia pada dasarnya terbebas daripada segala ikatan yang menyempitkan fikiran. Islam hadir membebaskan manusia daripada diperhamba sesama manusia kepada menjadi hamba hanya pada Yang Maha Kuasa. Membebaskan manusia daripada diikat hawa nafsu, kepada tunduk dalam iman. Lantas membebaskan hamba Allah daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat. Bukankah kebebasan yang kita mahukan?
2. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.
Allah adalah tunggal dalam keTuhanannya. Tiada yang setanding dengan Allah. Maka ini sepatutnya membawa rasa gentar dalam diri manusia yang ada iman dalam hatinya. Tiada suatu pun yang dapat disamakan dengan Allah. Dialah sebenar-benar Tuan, dan kita hanyalah selemah-lemah hambaNya.
3. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan,
Hakikat Allah tidak dipengaruhi oleh keadaan demi keadaan. Dia Maha sempurna. Dia tiada keturunan mahupun sanak saudara. Sempurna dalam erti kata yang kita semua tidak dapat bayangkan. Manusia hanya dapat membayangkan sesuatu yang boleh dicapai oleh pancainderanya. Tidak lebih dari itu. Kita tidak akan kenal Zat Allah. Tapi alam sekeliling cukup membuktikan yang Dia Maha kuasa. Perhatikanlah pada diri anda dan berfikirlah. Tanpa Allah, tiada kita tiada segala.
4. dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.
Tiada yang serupa dengan Allah. Tidak kira pada hakikat kewujudan, hakikat penciptaan, sifat serta zatNya. Bagi mereka yang beriman, akan timbullah rasa takut, gugup dan mungkin panik apabila suruhan dan larangan Allah dilanggar dengan berani.
Takutlah pada Allah.. Anda akan berani menghadapi makhlukNya
Add comment Jun 5, 2008