Definisi Melayu

Ogos 11, 2007 at 12:29 pm 3 comments

Masih Sekadar Hiasan Perlembagaan Semata-Mata?

 

Oleh Abdul Aziz Bari, aabari@iiu.edu.my atau bariaziz@yahoo.com

 

Majalah i, Jun 2007; Pada Hemat

Saya terkejut apabila seorang tenaga penggerak sebuah koperasi bertanyakan kepada saya tentang kedudukan sekumpulan mu’alaf yang tidak dibenarkan menyertai koperasi yang diuruskannya atas alasan bahawa mereka bukan Melayu. Sebelum itu, saya mendapat tahu bahawa seorang saudara baru juga dilayan sebagai ‘Cina’ meskipun keislaman dan ‘kemelayuan’ saudara baru ini mungkin lebih dari kita yang menganggap diri kita ‘Melayu’ ini.

Saya katakan bahawa tindakan itu salah kerana ia menyalahi perlembagaan. Kita semua maklum bahawa Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan antara lain mendefinisikan Melayu sebagai “sesorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap Melayu, mengamalkan adat Melayu…..”

Saya sering mengatakan bahawa definisi Melayu oleh perlembagaan yang longgar ini bersifat inklusif yakni merangkum dan Islamik kerana selain meletakkan Islam sebagai tonggak ia juga tidak menjadikan warna kulit, umpamanya sebagai kriteria kemelayuan. Dengan itu mereka yang memeluk islam dan memenuhi ciri-ciri yang disebutkan itu tergolonglah mereka sebagai Melayu secara teknikalnya.


Selain mempertahankan keislaman orang-orang Melayu definisi di bawah Perkara 160(2) itu jelas positif bagi orang Melayu kerana ia boleh menambahkan bilangan umat islam di negara ini. Dan dengan sendirinya akan bertambah kuatlah kedudukan islam. Ini dihujah dengan mengandaikan bahawa mereka yang telah tergolong di dalam kumpulan islam befikir dan berjuang untuk islam.

Keunikan Perkara 160(2)

Dengan definisi itu islam tidak rugi apa-apa. Malah kedudukan islam di Malaysia secara logiknya akan lebih kuat dan terjamin. Tidak timbul soal memelayukan islam di sini. Tidak perlulah ditimbulkan soal bahawa islam itu agama dan Melayu itu bangsa. Cukuplah dikatakan bahawa dengan definisi yang diperundangkan oleh Perkara 160(2) itu kedua-dua islam dan Melayu akan lebih kuat. Dan tidak salah untuk kita menggunakan islam untuk memperkasa diri kita.

Dari segi prinsip ini bolah dilakukan oleh sesiapa saja yang menganut agama islam. Bukankah memang islam itu rahmat bagi sekalian alam dan diturunkan untuk menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat?

Bangsa-bangsa lain di dunia ini memang tidak mempunyai keunikan yang ada pada Perkara 160(2). Di negara-negara Arab sendiri pun definisi seperti ini tidak wujud. Begitu juga di Indonesia. Tetapi itu soal lain dan kita tidak perlu memikirkan soal mereka kerana setiap bangsa mempunyai sejarah dan masalah sendiri.

Berbalik kepada soalan yang menjadi isu kali ini ada beberapa perkara yang boleh disebut. Yang pertama keadaan atau layanan sedemikian – menafikan kemelayuan golongan mu’alaf – menunjukkan kejahilan masyarakat tentang definisi Melayu yang ada di dalam perlembagaan. Jelasnya kumpulan orang yang merasakan bahawa diri mereka Melayu di dalam koperasi itu berasa bahawa mereka mempunyai kuasa untuk memutuskan siapa Melayu dan siapa bukan Melayu

Tetapi sebenarnya ini bukan kali pertama kita bertemu dengan keadaan sedemikian. Tidak lama dahulu – sebuah pertubuhan yang mewakili masyarakat India Muslim meminta peruntukan undang-undang dibuat supaya mereka diiktiraf sebagai Melayu. Itu jelas menunjukkan bahawa mereka tidak tahu bahawa di dalam perlembagaan – yakni undang-undang dasar atau undang-undang tertinggi negara – sudah ada peruntukan sedemikian. Dan tentunya cadangan itu dibuat kerana mereka dilayan sperti ‘orang bukan Melayu’.

Apa yang dialami oleh kumpulan mu’alaf tadi menunjukkan bahawa peruntukan seperti Perkara 160(2) penting supaya tidak ada siapa pun yang boleh menyalahgunakan kedudukan yang mereka miliki untuk mendiskriminasikan atau menafikan hak orang lain. Dan ini bukan sekadar kemungkinan, andaian atau sekadar imaginasi.

melayu1.jpg

Kalau kita lihat sekeliling memang sukar untuk mencari mereka yang benar-benar ‘berdarah’ dan ‘berketurunan’ Melayu. Ini kerana (i) kita tidak tahu dari segi biologi apa yang dikatakan ‘Melayu tulen’ itu dan (ii) kenyataan kehidupan kita ialah bahawa perkahwinan berlaku di antara kaum, suku dan keadaan ini tambah menyulitkan usaha mengenal pasti apa dan siapa yang dikatakan Melayu itu.

Kita semua tahu bahawa Tunku Abdul Rahman mempunyai darah Siam, Tun Hussein Onn pula mempunyai darah Turki, tun Dr Mahathir Mohamad pula mempunyai darah Pakistan. Manakala Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula mempunyai darah Cina. Dengan kata lain bukan semua mereka yang menganggap dan dianggap ‘Melayu’ ini benar-benar ‘Melayu’ dan tidak memiliki ciri-ciri atau asal-usul yang mengaburkan atau meragukan kemelayuan mereka.

Sebab itu apa yang terkandung dalam Perkara 160(2) adalah sesuatu yang baik dan berguna kerana dengannya kita terselamat dari terjebak dalam debat dan definisi yang mengelirukan dan membuang masa. Dan bertentangan dengan islam oula. Di dalam agama ini tidak ada yang lebih penting dari ketaqwaan. Warna kulit dan ‘bangsa’ tidak diambil kira. Di dalam islam manusia diukur dengan darjah dan kualiti ketaqwaannya. Dari sudut ini agak jelas bahawa definisi Melayu di bawah Perkara 160(2) cukup baik kerana ia meletakkan kita di dalam lorong akan mengarah kepada apa yang dikehendaki dan ditetapkan oleh islam itu. Terpulanglah sama ada kita hendak bergerak ke arah yang baik atau tidak.

Hak Mu’alaf

Apa yang boleh dilakukan oleh kumpulan mu’alaf yang dinafikan menjadi ahli koperasi Melayu itu ialah pergi ke mahkamah dan memohon pengisytiharan bahawa mereka adalah orang Melayu di sisi perlembagaan dan tindakan koperasi berkenaan menyalahi perlembagaan. Ini sahajalah cara yang berkesan bagi kumpulan mu’alaf itu mendapatkan hak yang telah dinafikan itu.

Agak jelas kepada kita bahawa pengurusan koperasi berkenaan mendefinisikan Melayu mengikut perasaan dan kebiasaan mereka. Ini bertentangan dengan undang-undang kerana di dalam undang-undang sesuatu tindakan itu perlu objektif dan untuk bertindak secara objektif ada ciri-ciri atau perkara-perkara yang digunakan dalam membuat keputusan. Ia juga hendaklah telus dan konsisten dan tidak dibuat secara sewenang-wenang. Apa yang dilakukan oleh pengurusan koperasi berkenaan jelas bersifat arbitrari dan mengikut perasaaan. Dengan kata lain ia tidak adil di sisi perlembagaan. Saya rasa pengurusan koperasi berkenaan mengikut ‘rasa’ dan ‘pandangan’ mereka yang subjektif.

Selain dari contoh yang dipaparkan di atas kita kadangkala berjumpa dengan orang islam yang tidak dibenarkan menggunakan ‘bin’ atau ‘binti’. Alasan yang digunakan juga sama; mereka yang berkenaan itu ‘bukan Melayu’ dan mereka tidak boleh menggunakan ‘bin’ atau ‘binti’ yang – menurut fahaman atau ajaran salah mereka – adalah sesuatu yang hanya boleh digunakan oleh orang-orang ‘Melayu’ sahaja. Ini bukan sahaja menyalahi perlembagaan tetapi lebih penting lagi bertentangan dengan ajaran dan semangat islam. Kita tahu bahawa ‘bin’ dan ‘binti’ yang merupakan bahasa Arab yang bermaksud ‘anak lelaki’ dan ‘anak perempuan’ itu bukan untuk orang-orang Melayu sahaja.

Apa yang menyedihkan di sini ialah betapa ada di kalangan anggota masyarakat kita yang jahil tentang islam dan jahil juga tentang perlembagaan. Dan ini berlaku setelah kita memeluk islam ratusan tahun lamanya. Perlembagaan kita pula akan menyambut ulang tahun ke 50 Ogos (bulan) ini. Dan yang lebih menyedihkan lagi ialah betapa pengurusan kopersi berkenaan diterajui oleh mereka yang kebanyakannya berpendidikan tinggi; yakni lulus universiti. Tidak secara langsung ini mungkin boleh disebut sebagai kekurangan atau lebih teruk lagi, kegagalan pendidikan tinggi kita.

Soal Melayu dan kemelayuan ini penting kerana ini yang menjadi tonggak kepada perlembagaan kita. Contoh yang dipaparkan ini memberikan imej yang hodoh buat perlembagaan dan yang lebih parah lagi memberi kesan negatif kepada islam kerana agama kita menganjurkan supaya kesamarataan dan keadilan menjadi tonggak di dalam kehidupan kita. Dan golongan mu’alaf itu mempunyai hak untuk diraikan sebagai saudara baru yang perlu dibantu menjalani kehidupan baru.

Entry filed under: al kisah. Tags: .

Islam makin bersinar di Eropah Padamkan Api Amarahmu

3 Komen Add your own

  • [...] MELAYU (Baca Definisi Melayu di sini »») [...]

    Balas
  • [...] MELAYU (Baca Definisi Melayu di sini »») [...]

    Balas
  • 3. Mohd Sollehhuddin Osman  |  September 16, 2010 at 2:43 pm

    Saya 100% sokong pendapat dan ulasan ini. Kita tanpa mengira kaum erlu mengiktiraf dan mematuhi 160(2) perlembagaan kita, kerana ini memberikan HAK kepada saudara ISLAM yang baru. Dengan menganut Islam, bertutur melayu dan mengamalkan budaya melayu, kita patut menerima mereka sebagai Melayu.

    Ini bermakna, 160(2) secara perundangan telah memberi peluang kepada semua rakyat malaysia tanpa mengira agama, warna kulit, kaum dsbnya untuk menjadi MELAYU dan menikmati HAK ISTIMEWA sebagai Melayu dan Bumiputera.

    Jadi kalaulah masih nak tak ubah agama kepada agama rasmi negara, tak mau menggunakan bahasa rasmi negara iaitu B melayu dan mengamalkan cara hidup budaya MELAYU, kenapa masih ada yang terhegeh-hegeh mempersoalkan hak istimewa Melayu????? .

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Trackback this post  |  Subscribe to the comments via RSS Feed


Iklaneka

Ogos 2007
I S R K J S A
« Jul   Sep »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Kiriman Terbaru

Blog Stats

  • 60,624 hits

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: